Monday 21 May 2018

Myanmar : Mandalay

Perjalanan dengan bas VIP memang terbaik. Aku dapat seat single (1 baris ada 3 seat je) tapi masa bas naik bukit enjin bas mati beberapa kali. Cuak gak tapi bila memikirkan ada lagi 30 orang dalam bas tu, nak takut apa. Kan? Selain dari tu perjalanan agak smooth dan bas VIP ni bagi aku sangat selesa. Bas sepatutnya tiba jam 4.30 pagi tapi jam 3.30 lagi kami semua dah terpacak di Mandalay bus station. 3.30 pagi nak buat apa kat bas station ni dengan suhu persekitaran dalam sekitar 14° celcius. Turun sahaja dari bas, kami penumpang-penumpang bas mula diserbu oleh teksi dan motorsikal yang dah lama menunggu untuk menghantar kami ke destinasi tujuan. Aku yang takde sebarang booking hotel ni nak buat apa pun tak tahu dan takde sebarang hala tujuan dalam fikiran. Baru je bangun dari tidur lena , aku berasa mula panik...badan seram sejuk rasa nak demam (macam semalam di Inle) so takde cara lain untuk berehat, aku search map sekiranya terdapat hotel area bus station tersebut..dah la nak terkencing...sejuk lak tu...kali ni kena bayar pun bayar lah..rugi pun rugi lah sebab badan aku betul-betul dah tak dapat bertahan lagi. Search punya search ada satu yang aku jumpa (yang nampak affordable dengan budget yang aku ada)...so aku bergegas berjalan kaki ke hotel tersebut yang terletak kira-kira 200meter dari tempat aku berdiri.



Dalam kesejukkan yang mencengkam tulang akhirnya aku sampai ke pintu hotel tapi malangnya pintu utama berkunci dari dalam dan kelihatan dari luar staff 2 hotel bergelimpangan tidur diulit mimpi indah di lantai lobi. Jenuh ku ketuk tapi semuanya tidur mati so dengan kechewanya aku keluarkan sebatang rokok dan menyedutnya dikala kesejukkan pagi yang betul2 mencengkam tulang. Aku kembali semula ke pejabat bas. Aku mintak kebenaran pada mamat yang duduk dalam pejabat tu utk tumpang berteduh. Aku cakap kat mamat yang ada dalam pejabat tu yang aku lepak situ sampai matahari terbit je..pastu aku pun cau, kata aku pada mamat tu. Dia kata ok so aku cuba utk tidur dalam office tu. Dalam pejabat tu ada dalam 4-5 orang lagi yang sedang baring tidur di kerusi yang ada disana. Badan aku semakin lama semakin mencengkam rasa nak demam tu.




Beberapa jam kemudian, dalam jam 6.30 pagi matahari sudah menampakkan wajahnya. Untuk meredakan rasa nak demam aku ambil keputusan untuk berjalan kaki tapi belum pasti hala tujuan kemana. Aku bukak henpon dah tengok mana-mana destinasi yang agak hampir dengan aku. Memandangkan aku belum buat sebarang hotel booking, untuk membuang masa aku mengambil keputusan untuk ke U-bein bridge yang terletak kira-kira 6km dari bus station dan mengambil masa lebih kurang 1jam lebih perjalanan dengan berjalan kaki. Kira ok la tu..sementara cuaca masih segar bugar dan nyaman ni elok kita tegangkan urat-urat.


Maps menunjukkan aku jalan terdekat maknanya aku perlu masuk keluar kampung utk sampai ke destinasi yang hendak dituju. Masuk pasar pagi, cross landasan keretapi, lalu tepi university akhirnya aku tiba jua kat u-bein bridge. Apa yang menarik adalah suasana pagi-pagi di kampung di Mandalay. Pagi-pagi lagi outskrit Mandalay dah busy dengan hal-hal kehidupan seharian. Kat salah satu kampung yang ada pasar pagi ni, feeling dia macam pergi ke pasar tani kat Malaysia...tahun 90an. Masa beli kaset wings jerangkung dalam almari versi cetak rompak dulu...kat pasar yang sempat aku lalui ni, aktiviti berjalan di jalan tanah merah di tepi-tepi rumah orang...Jualannya terdiri dari barang keperluan harian umpamanya daging, ayam, ikan keli dan sayur-sayuran. Aku macam nak amik gambar juga kat sini tapi ada sunrise yang perlu aku kejar..so aku skip dan teruskan perjalanan ke U-bein.




Waktu pagi di U-Bein bridge, suasananya agak lengang dan tenang. Tidak seperti yang aku jangka sebab takde seorang pun orang putih di kawasan tuh kelihatan..Sama ada aku tiba lewat atau mat saleh belum bangun lagi utk ke sini. Tak lama aku kat u-bein bridge ni dalam 30 minit ke sejam lah...jambatan kayu tu pun X abis aku ronda. Sampai junction nak ke temple tu aku patah balik. Aku rasa kali ni sunrise lagi penting sambil dalam kepala masih lagi bermain-main sama ada, aku nak patah balik ke bus station dan terus amik bas ke Bagan ataupun stay 1 malam di Mandalay. Badan tak sihat so kepala masih tak dapat nak berfikir dengan waras. Lepas selesai amik beberapa gambar aku teruskan perjalanan. Pemandangan pagi di U-bein nih bagi aku amatlah menarik terutama sekali pada waktu pagi...cuacanya pun nyaman..aku tak check suhu masa tu tapi agak sejuk...


Kalau aku tiba lebih awal lagi la best tapi kira Ok la tu sebab tiba juga ke tempat ni. Apa sebenarnya yang speselnya jambatan U-bein ni yang menyebabkan aku datang? Sebenarnya aku main belasah je ke sini tapi sebenarnya jambatan kayu ini agak istimewa sebab ianya dibina kira-kira 250 tahun yang lampau. Bayangkan nak buat jambatan kayu  sepanjang 1.2km merentas tasik dan di penghujungnya menuju ke temple yang besar(sebenarnya royal palace zaman dahulu kala). Viewnya persekitarannya memang menakjubkan..(pandangan aku je la)




Setelah berfikir agak pendek, kali ni aku nekad nak stay 1 malam kat Mandalay cuma masalah nya aku belum booking hotel lagi. Takpe..jalan kaki dulu sampai ke town baru pikir nak stay hotel mana. Ramai juga bertanya aku nak naik motor dengan diorang ke tak?(berbayar la yer) tapi aku dengan tabah cakap tak mau. Sampai ada pakcik sesat nak tanya jalan pun aku cakap takmau...jalan punya jalan cuaca yang awalnya sejuk mula berbahang..aku Yang mulanya nak demam sekarang dah rasa nak pitam. Sudah la panas aku tabahkan jugak ikut Google maps. Sedar tak sedar dah lebih kurang 12 km aku berjalan...Dari u-bein ye 12km..berapa kali jugak singgah beli air. Setogak je selesai pastu teruskan perjalanan. Akhirnya aku bukak Agoda dan booking satu hotel ni. Aku book hotel ni 200 meter je dari lokasi hotel Tu. Aku pun X sure samada time aku sampai hotel tu booking aku tu dah masuk sistem atau tak..ah..persetankan..janji aku dah book dan dah bayar guna credit kad dan dapat confirmation letter.




Bagi yang tertanya-tanya kenapalah aku buat kerja bodoh berjalan kaki sepanjang perjalanan...adakah aku nih kedekut melampau atau terover bajet? Jawapan itu dah agak betul tapi kurang tepat...jawapan yang sebenarnya..aku cuma nak menghabiskan masa..satu sebab memang aku suka berjalan..dan no 2..aku nak tiba di hotel betul-betul or selepas waktu check in..OK..katakanlah jam 9 pagi aku dah berada di lobi hotel dan waktu check in nya katakanlah jam 12..takkan aku nak tunggu 3 jam duduk saja di lobi...so dari duduk saja..baik aku berjalan sambil menyaksikan pemandangan dan budaya serta sosio ekonomi rakyat tempatan..travel bukan hanya nak selfie dengan bangunan ikon dunia dan show off kat fesbuk yang ko dah mengembara seantero dunia malahan kalau dapat belajar sedikit sebanyak tentang masyarakat tempatan...ini boleh dijadikan iktibar untuk diri sendiri. Percayalah...kalau korang menyaksikan betapa peritnya kehidupan orang lain..sedikit sebanyak korang pun akan insaf dan menghargai kehidupan korang...bukan asik komplen je...opss..terlebih sudah ceramah...



Sampai kat lobi hotel tercengang staff hotel yang kebetulan tengah mop lantai bila tengok kaki aku yang berdebu macam baru balik dari gurun Gobi melangkah perlahan-lahan menuju ke receiption. Aku terus melaporkan diri ke receiptionist scepat mungkin supaya aku dapat beradu dengan kadar segera. Tiba2 receiptionist tu bagitau yang bilik aku tempah tu dah fully booked. Ehhh..suka hati kau je..So aku bukak balik Agoda dan tunjukkan dia yang dia tak update bilangan bilik kat apps tu. Kat apps tu cakap ada lagi 4 bilik kosong. So dalam 15 minit jugak la aku menunggu mamat tu call bos dia bagitau situasi yang dia hadapi. Dia kemudiannya panggil aku pastu inform kat aku "we are happily decided to upgrade your room" ya..jawapan itu yg aku tunggu2. Takkan nak suh tido kat tepi tangga kut. Dah bayar kut..



Settle hal check in aku naik dan rasa nak berehat. Dalam kepala aku cakap..I'm done for today..dah tak larat nak jalan kaki dah sebab dah lebih 20km perjalanan hari ni..kaki pun dah melecet walaupun aku pakai slipper asadi. Tetiba aku teringat yang tiket bas ke Bagan aku tak carik lagi. So sekali lagi aku turun kat receiption utk booking tiket bas. So...setelah membelek-belek beberapa option akhirnya aku amik bas pagi ke Bagan..Cun..dapat dah tiket utk esok so it's time to rest. Baru je aku nak naik tangga tetiba receiptionist tu panggil aku. "If you want to rent a bicycle..we have here..for you the rental is free" dem you receptionist..tak bagi aku nak rehat langsung..tau2 je yang kaki aku dah takleh jalan lagi.



Aku naik atas semula, membersihkan badan sambil buat apa2 yang perlu sambil berehat sebentar...Penat weyh...dan dalam jam 4 petang aku turun semula. Time ni cuaca dah mula redup sikit. Aku ambil kunci basikal dari recieption sementara basikal sedang dikeluarkan dari stor oleh staff hotel tuh jugak. Dengan t shirt dan kain pelikat serta daily backpack aku (isi kamera dan air) , aku mula lah mengayuh di pekan Mandalay tu. Hala tuju? Takder sangat tapi ada beberapa temple aku nak try pegi (kalau sempat) tapi yang penting adalah proper dinner utk malam tu. Last makan lunch semalam kat Nyaung Shwe.

Keadaan trafik kat Mandalay takde la sibuk sangat tapi hon mengehon boleh tahan juga. Boleh la kalau nak naik basikal. Tak ramai yang naik basikal kat sini. Ada la tak sampai 10 dan itupun ramai tourist. Aku yang dress up macam local (pakai kain pelikat dan ber t-shirt dah takleh anggap tourist dah..perasan) Destinasi pertama aku di Mandalay adalah skinny Buddha. Aku sebenarnya tak tahu langsung tempat patung nih berada dan aku singgah pun sebab aku ternampak patung setinggi 75 kaki tu dari jalan besar. Kat sini banyak patung dan korang kena bukak kasut bila masuk perkarangan tempat nih. Yang menarik, tempat ni tak ramai orang..ada sorang 2 pelancong mat saleh dan local pun x ramai. Jadi keadaan kira tenang jugak la.




Sekejap je aku kat sini dalam 15-20 minit sahaja sebab hari semakin senja..Kalau di Mandalay ni sebenarnya Kuthodaw Pagoda adalah destinasi yang aku rasa paling nak pergi..ala..pagoda putih yang ramai orang buat photoshoot tuh....tak jauh sangat pun tapi tak dan nak pergi semua tempat dan terpaksa pilih la mana-mana destinasi yang sempat pergi sebabnya jam 5 lebih ada beberapa pagoda yang dah tutup pintu pagarnya pada pengunjung. So takde masa yang banyak, mana sampai dulu itu yang aku singgah. So next stop aku singgah di Shwenandaw Monastery...





Aku berhenti sebab aku ternampak beberapa orang awek omputeh berbasikal di sana. Aku berhenti di tepi jalan lalu bergegas masuk ke perkarangan temple. Nampaknya terdapat 2 temple di sana so aku teruskan jalan kaki ke hujung di mana terletaknya temple yang lebih besar. Tanpa membuang masa lagi aku memanjat naik ke temple besar tersebut. Memang pelik temple nih sebabnya sebesar-besar ruang di dalamnya ianya hanya menempatkan tiang-tiang dan dan diruang hujungnya itu barulah terdapat satu patung Buddha. Ruangan yang lain nampaknya kosong belaka. Mungkin ianya ruang bagi sami-sami untuk duduk membaca mentera. Mungkin lah kut. Kemudiannya aku keluar sambil mengambil gambar keadaan luar bangunan yang nampaknya ramai aweks-aweks local sedang seronok bergambar dan berselfie sesama sendiri.



Kemudian aku ke bangunan kayu yang terletak di harapan temple besar tersebut..bangunan kayu yang mempunyai senibina kayu yang penuh dengan ukiran ini adalah Shwenandaw Monastery yang sebenar dan bangunan temple besar yang aku masuk tadi adalah Atumashi Monastary yang dibina pada tahun 1857 oleh King Mindon. Shwenandaw Monastery merupakan sebuah tempat bagi raja Myanmar pada masa itu iaitu King Thibaw untuk bermeditasi dan juga dikenali sebagai Golden Palace Monastery. Struktur asal bangunan ini adalah sebahagian dari Royal Palace yang terdapat di Amarapura yakni temple besar yang aku bagitau yang terletak dihujung U-Bein bridge yang aku lawati pagi tadi. Mandalay dahulunya merupakan ibu negara bagi Myanmar, semasa zaman raja-raja Myanmar jadi itu lah sebabnya terdapat banyak bangunan-bangunan berupa palace di sini. Apa-apa pun Shwenandaw Monastery ni tempat yang baik untuk dilawati bagi sesiapa yang minat dengan rekabentuk tradisional Burma dan juga kaki sejarah. Banyak juga kalau nak diceritakan di sini, so aku bagi korang homework untuk cari sendiri cerita pasal Shwenandaw Monastery ini kalau korang minat lah. Aku tiba agak lewat dan menjadi orang-orang terakhir yang dapat masuk sebelum pintu pagar ditutup. Kira lucky jugak lah.




Usai lawatan, satu lagi tempat yang perlu dikunjungi adalah...restoran halal. Tak boleh tidak sebab keesokkan harinya aku amik bas pagi dan sudah tentu tak sempat breakfast..Lagipun perlu untuk mengisi perut sebelum tidur. Aku sambung menaiki basikal tapi kali ini aku ikut jalan yang lain..Sempat juga melalui Mandalay royal palace dikala sunset. Tempatnya menarik jika diperhatikan dari luar..apatah lagi kalau masuk ke dalam..tapi masa tak mengizinkan aku. Aku teruskan juga perjalanan mencari kedai makan tapi untuk korang...Mandalay Palace nih memang korang kena pergi kalau singgah di Mandalay.




Salah satu dari restoran yang aku dah tag dalam henpon aku adalah Indian Tadka..yang terletak tidak begitu jauh dari hotel aku...tak jauh pun adalah dalam 4-5 km juga..tapi kalau naik basikal takde hal sangat..cuma apa yang merisaukan aku adalah takut-takut berbasikal di malam hari..kalau takde lampu or lampu basikal tak berfungsi..amatlah merbahaya sekiranya dilanggar motokar. Sampai je di depan restoran..alamak..sekali restoran ini macam fine dining punya restoran lah...siap ada guard beruniform bertugas untuk memastikan pelanggan boleh parking diluar kedai dengan sempurna..Aku yang berbasikal dan berkain pelikat sambil menggalas beg nih takut tak dibenarkan masuk je..



Sambil menunggu dan berfikir sama ada nak masuk ke tak..aku selak jugak duit-duit yang ada dalam dompet tuh..takut tak cukup..kalau kat Malaysia boleh la nak basuh pinggan..kat Myanmar risau jugak kalau tak cukup jadi buruh keretapi maut aku nanti. Setelah menghabiskan rokok di tangan aku pun masuk...apa nak jadi-jadilah..takkan nak biarkan orang anggap orang Malaysia nih miskin sangat...Malaysia pride kena jaga juga( sebenarnya aku lapar sangat sampai tak boleh pikir dah)...Malaysia boleh.. Aku masuk orang yang sedang melantak mengalihkan pandangan kepada aku...sambil senyum aku duduk dan menyelak menu..Ala..takde la mahal sangat..harga makanan lebih kurang kat Mekdi je..Big Mac set large 2 set tambah ayam krispi je..(adalah dalam RM50 jugak habis malam tu)..Boleh la..Tapi aku pilih menu yang paling murah je..janji ada nasik..rindu nak makan nasik.



Restoran ni menyajikan mostly makanan India. Kat google dia claim halal restoran tapi segala beer ngan macam-macam air yang memabukkan yang aku tak pernah tengok pun ada di dalam rak kaca. Tawakkal je lah...Habis hidangan aku pun bayar dan meneruskan perjalanan. Kali ni dah takde nak ronda-ronda mana-mana dah..Badan penat..perut dah kenyang..Mata pun dah start kuyu...Aku kayuh laju-laju ke hotel..Harap-harap malam nih boleh tidur nyenyak di katil hotel yang empuk..Asik tidur dalam bas je...

Bersambung

1 comment:

  1. آسف سيدي ... نحن لا نفعل أي خدمات الصرف الصحي هنا ... هذه هي مدونة السفر

    ReplyDelete