Monday 21 May 2018

Myanmar : Mandalay

Perjalanan dengan bas VIP memang terbaik. Aku dapat seat single (1 baris ada 3 seat je) tapi masa bas naik bukit enjin bas mati beberapa kali. Cuak gak tapi bila memikirkan ada lagi 30 orang dalam bas tu, nak takut apa. Kan? Selain dari tu perjalanan agak smooth dan bas VIP ni bagi aku sangat selesa. Bas sepatutnya tiba jam 4.30 pagi tapi jam 3.30 lagi kami semua dah terpacak di Mandalay bus station. 3.30 pagi nak buat apa kat bas station ni dengan suhu persekitaran dalam sekitar 14° celcius. Turun sahaja dari bas, kami penumpang-penumpang bas mula diserbu oleh teksi dan motorsikal yang dah lama menunggu untuk menghantar kami ke destinasi tujuan. Aku yang takde sebarang booking hotel ni nak buat apa pun tak tahu dan takde sebarang hala tujuan dalam fikiran. Baru je bangun dari tidur lena , aku berasa mula panik...badan seram sejuk rasa nak demam (macam semalam di Inle) so takde cara lain untuk berehat, aku search map sekiranya terdapat hotel area bus station tersebut..dah la nak terkencing...sejuk lak tu...kali ni kena bayar pun bayar lah..rugi pun rugi lah sebab badan aku betul-betul dah tak dapat bertahan lagi. Search punya search ada satu yang aku jumpa (yang nampak affordable dengan budget yang aku ada)...so aku bergegas berjalan kaki ke hotel tersebut yang terletak kira-kira 200meter dari tempat aku berdiri.



Dalam kesejukkan yang mencengkam tulang akhirnya aku sampai ke pintu hotel tapi malangnya pintu utama berkunci dari dalam dan kelihatan dari luar staff 2 hotel bergelimpangan tidur diulit mimpi indah di lantai lobi. Jenuh ku ketuk tapi semuanya tidur mati so dengan kechewanya aku keluarkan sebatang rokok dan menyedutnya dikala kesejukkan pagi yang betul2 mencengkam tulang. Aku kembali semula ke pejabat bas. Aku mintak kebenaran pada mamat yang duduk dalam pejabat tu utk tumpang berteduh. Aku cakap kat mamat yang ada dalam pejabat tu yang aku lepak situ sampai matahari terbit je..pastu aku pun cau, kata aku pada mamat tu. Dia kata ok so aku cuba utk tidur dalam office tu. Dalam pejabat tu ada dalam 4-5 orang lagi yang sedang baring tidur di kerusi yang ada disana. Badan aku semakin lama semakin mencengkam rasa nak demam tu.




Beberapa jam kemudian, dalam jam 6.30 pagi matahari sudah menampakkan wajahnya. Untuk meredakan rasa nak demam aku ambil keputusan untuk berjalan kaki tapi belum pasti hala tujuan kemana. Aku bukak henpon dah tengok mana-mana destinasi yang agak hampir dengan aku. Memandangkan aku belum buat sebarang hotel booking, untuk membuang masa aku mengambil keputusan untuk ke U-bein bridge yang terletak kira-kira 6km dari bus station dan mengambil masa lebih kurang 1jam lebih perjalanan dengan berjalan kaki. Kira ok la tu..sementara cuaca masih segar bugar dan nyaman ni elok kita tegangkan urat-urat.


Maps menunjukkan aku jalan terdekat maknanya aku perlu masuk keluar kampung utk sampai ke destinasi yang hendak dituju. Masuk pasar pagi, cross landasan keretapi, lalu tepi university akhirnya aku tiba jua kat u-bein bridge. Apa yang menarik adalah suasana pagi-pagi di kampung di Mandalay. Pagi-pagi lagi outskrit Mandalay dah busy dengan hal-hal kehidupan seharian. Kat salah satu kampung yang ada pasar pagi ni, feeling dia macam pergi ke pasar tani kat Malaysia...tahun 90an. Masa beli kaset wings jerangkung dalam almari versi cetak rompak dulu...kat pasar yang sempat aku lalui ni, aktiviti berjalan di jalan tanah merah di tepi-tepi rumah orang...Jualannya terdiri dari barang keperluan harian umpamanya daging, ayam, ikan keli dan sayur-sayuran. Aku macam nak amik gambar juga kat sini tapi ada sunrise yang perlu aku kejar..so aku skip dan teruskan perjalanan ke U-bein.




Waktu pagi di U-Bein bridge, suasananya agak lengang dan tenang. Tidak seperti yang aku jangka sebab takde seorang pun orang putih di kawasan tuh kelihatan..Sama ada aku tiba lewat atau mat saleh belum bangun lagi utk ke sini. Tak lama aku kat u-bein bridge ni dalam 30 minit ke sejam lah...jambatan kayu tu pun X abis aku ronda. Sampai junction nak ke temple tu aku patah balik. Aku rasa kali ni sunrise lagi penting sambil dalam kepala masih lagi bermain-main sama ada, aku nak patah balik ke bus station dan terus amik bas ke Bagan ataupun stay 1 malam di Mandalay. Badan tak sihat so kepala masih tak dapat nak berfikir dengan waras. Lepas selesai amik beberapa gambar aku teruskan perjalanan. Pemandangan pagi di U-bein nih bagi aku amatlah menarik terutama sekali pada waktu pagi...cuacanya pun nyaman..aku tak check suhu masa tu tapi agak sejuk...


Kalau aku tiba lebih awal lagi la best tapi kira Ok la tu sebab tiba juga ke tempat ni. Apa sebenarnya yang speselnya jambatan U-bein ni yang menyebabkan aku datang? Sebenarnya aku main belasah je ke sini tapi sebenarnya jambatan kayu ini agak istimewa sebab ianya dibina kira-kira 250 tahun yang lampau. Bayangkan nak buat jambatan kayu  sepanjang 1.2km merentas tasik dan di penghujungnya menuju ke temple yang besar(sebenarnya royal palace zaman dahulu kala). Viewnya persekitarannya memang menakjubkan..(pandangan aku je la)




Setelah berfikir agak pendek, kali ni aku nekad nak stay 1 malam kat Mandalay cuma masalah nya aku belum booking hotel lagi. Takpe..jalan kaki dulu sampai ke town baru pikir nak stay hotel mana. Ramai juga bertanya aku nak naik motor dengan diorang ke tak?(berbayar la yer) tapi aku dengan tabah cakap tak mau. Sampai ada pakcik sesat nak tanya jalan pun aku cakap takmau...jalan punya jalan cuaca yang awalnya sejuk mula berbahang..aku Yang mulanya nak demam sekarang dah rasa nak pitam. Sudah la panas aku tabahkan jugak ikut Google maps. Sedar tak sedar dah lebih kurang 12 km aku berjalan...Dari u-bein ye 12km..berapa kali jugak singgah beli air. Setogak je selesai pastu teruskan perjalanan. Akhirnya aku bukak Agoda dan booking satu hotel ni. Aku book hotel ni 200 meter je dari lokasi hotel Tu. Aku pun X sure samada time aku sampai hotel tu booking aku tu dah masuk sistem atau tak..ah..persetankan..janji aku dah book dan dah bayar guna credit kad dan dapat confirmation letter.




Bagi yang tertanya-tanya kenapalah aku buat kerja bodoh berjalan kaki sepanjang perjalanan...adakah aku nih kedekut melampau atau terover bajet? Jawapan itu dah agak betul tapi kurang tepat...jawapan yang sebenarnya..aku cuma nak menghabiskan masa..satu sebab memang aku suka berjalan..dan no 2..aku nak tiba di hotel betul-betul or selepas waktu check in..OK..katakanlah jam 9 pagi aku dah berada di lobi hotel dan waktu check in nya katakanlah jam 12..takkan aku nak tunggu 3 jam duduk saja di lobi...so dari duduk saja..baik aku berjalan sambil menyaksikan pemandangan dan budaya serta sosio ekonomi rakyat tempatan..travel bukan hanya nak selfie dengan bangunan ikon dunia dan show off kat fesbuk yang ko dah mengembara seantero dunia malahan kalau dapat belajar sedikit sebanyak tentang masyarakat tempatan...ini boleh dijadikan iktibar untuk diri sendiri. Percayalah...kalau korang menyaksikan betapa peritnya kehidupan orang lain..sedikit sebanyak korang pun akan insaf dan menghargai kehidupan korang...bukan asik komplen je...opss..terlebih sudah ceramah...



Sampai kat lobi hotel tercengang staff hotel yang kebetulan tengah mop lantai bila tengok kaki aku yang berdebu macam baru balik dari gurun Gobi melangkah perlahan-lahan menuju ke receiption. Aku terus melaporkan diri ke receiptionist scepat mungkin supaya aku dapat beradu dengan kadar segera. Tiba2 receiptionist tu bagitau yang bilik aku tempah tu dah fully booked. Ehhh..suka hati kau je..So aku bukak balik Agoda dan tunjukkan dia yang dia tak update bilangan bilik kat apps tu. Kat apps tu cakap ada lagi 4 bilik kosong. So dalam 15 minit jugak la aku menunggu mamat tu call bos dia bagitau situasi yang dia hadapi. Dia kemudiannya panggil aku pastu inform kat aku "we are happily decided to upgrade your room" ya..jawapan itu yg aku tunggu2. Takkan nak suh tido kat tepi tangga kut. Dah bayar kut..



Settle hal check in aku naik dan rasa nak berehat. Dalam kepala aku cakap..I'm done for today..dah tak larat nak jalan kaki dah sebab dah lebih 20km perjalanan hari ni..kaki pun dah melecet walaupun aku pakai slipper asadi. Tetiba aku teringat yang tiket bas ke Bagan aku tak carik lagi. So sekali lagi aku turun kat receiption utk booking tiket bas. So...setelah membelek-belek beberapa option akhirnya aku amik bas pagi ke Bagan..Cun..dapat dah tiket utk esok so it's time to rest. Baru je aku nak naik tangga tetiba receiptionist tu panggil aku. "If you want to rent a bicycle..we have here..for you the rental is free" dem you receptionist..tak bagi aku nak rehat langsung..tau2 je yang kaki aku dah takleh jalan lagi.



Aku naik atas semula, membersihkan badan sambil buat apa2 yang perlu sambil berehat sebentar...Penat weyh...dan dalam jam 4 petang aku turun semula. Time ni cuaca dah mula redup sikit. Aku ambil kunci basikal dari recieption sementara basikal sedang dikeluarkan dari stor oleh staff hotel tuh jugak. Dengan t shirt dan kain pelikat serta daily backpack aku (isi kamera dan air) , aku mula lah mengayuh di pekan Mandalay tu. Hala tuju? Takder sangat tapi ada beberapa temple aku nak try pegi (kalau sempat) tapi yang penting adalah proper dinner utk malam tu. Last makan lunch semalam kat Nyaung Shwe.

Keadaan trafik kat Mandalay takde la sibuk sangat tapi hon mengehon boleh tahan juga. Boleh la kalau nak naik basikal. Tak ramai yang naik basikal kat sini. Ada la tak sampai 10 dan itupun ramai tourist. Aku yang dress up macam local (pakai kain pelikat dan ber t-shirt dah takleh anggap tourist dah..perasan) Destinasi pertama aku di Mandalay adalah skinny Buddha. Aku sebenarnya tak tahu langsung tempat patung nih berada dan aku singgah pun sebab aku ternampak patung setinggi 75 kaki tu dari jalan besar. Kat sini banyak patung dan korang kena bukak kasut bila masuk perkarangan tempat nih. Yang menarik, tempat ni tak ramai orang..ada sorang 2 pelancong mat saleh dan local pun x ramai. Jadi keadaan kira tenang jugak la.




Sekejap je aku kat sini dalam 15-20 minit sahaja sebab hari semakin senja..Kalau di Mandalay ni sebenarnya Kuthodaw Pagoda adalah destinasi yang aku rasa paling nak pergi..ala..pagoda putih yang ramai orang buat photoshoot tuh....tak jauh sangat pun tapi tak dan nak pergi semua tempat dan terpaksa pilih la mana-mana destinasi yang sempat pergi sebabnya jam 5 lebih ada beberapa pagoda yang dah tutup pintu pagarnya pada pengunjung. So takde masa yang banyak, mana sampai dulu itu yang aku singgah. So next stop aku singgah di Shwenandaw Monastery...





Aku berhenti sebab aku ternampak beberapa orang awek omputeh berbasikal di sana. Aku berhenti di tepi jalan lalu bergegas masuk ke perkarangan temple. Nampaknya terdapat 2 temple di sana so aku teruskan jalan kaki ke hujung di mana terletaknya temple yang lebih besar. Tanpa membuang masa lagi aku memanjat naik ke temple besar tersebut. Memang pelik temple nih sebabnya sebesar-besar ruang di dalamnya ianya hanya menempatkan tiang-tiang dan dan diruang hujungnya itu barulah terdapat satu patung Buddha. Ruangan yang lain nampaknya kosong belaka. Mungkin ianya ruang bagi sami-sami untuk duduk membaca mentera. Mungkin lah kut. Kemudiannya aku keluar sambil mengambil gambar keadaan luar bangunan yang nampaknya ramai aweks-aweks local sedang seronok bergambar dan berselfie sesama sendiri.



Kemudian aku ke bangunan kayu yang terletak di harapan temple besar tersebut..bangunan kayu yang mempunyai senibina kayu yang penuh dengan ukiran ini adalah Shwenandaw Monastery yang sebenar dan bangunan temple besar yang aku masuk tadi adalah Atumashi Monastary yang dibina pada tahun 1857 oleh King Mindon. Shwenandaw Monastery merupakan sebuah tempat bagi raja Myanmar pada masa itu iaitu King Thibaw untuk bermeditasi dan juga dikenali sebagai Golden Palace Monastery. Struktur asal bangunan ini adalah sebahagian dari Royal Palace yang terdapat di Amarapura yakni temple besar yang aku bagitau yang terletak dihujung U-Bein bridge yang aku lawati pagi tadi. Mandalay dahulunya merupakan ibu negara bagi Myanmar, semasa zaman raja-raja Myanmar jadi itu lah sebabnya terdapat banyak bangunan-bangunan berupa palace di sini. Apa-apa pun Shwenandaw Monastery ni tempat yang baik untuk dilawati bagi sesiapa yang minat dengan rekabentuk tradisional Burma dan juga kaki sejarah. Banyak juga kalau nak diceritakan di sini, so aku bagi korang homework untuk cari sendiri cerita pasal Shwenandaw Monastery ini kalau korang minat lah. Aku tiba agak lewat dan menjadi orang-orang terakhir yang dapat masuk sebelum pintu pagar ditutup. Kira lucky jugak lah.




Usai lawatan, satu lagi tempat yang perlu dikunjungi adalah...restoran halal. Tak boleh tidak sebab keesokkan harinya aku amik bas pagi dan sudah tentu tak sempat breakfast..Lagipun perlu untuk mengisi perut sebelum tidur. Aku sambung menaiki basikal tapi kali ini aku ikut jalan yang lain..Sempat juga melalui Mandalay royal palace dikala sunset. Tempatnya menarik jika diperhatikan dari luar..apatah lagi kalau masuk ke dalam..tapi masa tak mengizinkan aku. Aku teruskan juga perjalanan mencari kedai makan tapi untuk korang...Mandalay Palace nih memang korang kena pergi kalau singgah di Mandalay.




Salah satu dari restoran yang aku dah tag dalam henpon aku adalah Indian Tadka..yang terletak tidak begitu jauh dari hotel aku...tak jauh pun adalah dalam 4-5 km juga..tapi kalau naik basikal takde hal sangat..cuma apa yang merisaukan aku adalah takut-takut berbasikal di malam hari..kalau takde lampu or lampu basikal tak berfungsi..amatlah merbahaya sekiranya dilanggar motokar. Sampai je di depan restoran..alamak..sekali restoran ini macam fine dining punya restoran lah...siap ada guard beruniform bertugas untuk memastikan pelanggan boleh parking diluar kedai dengan sempurna..Aku yang berbasikal dan berkain pelikat sambil menggalas beg nih takut tak dibenarkan masuk je..



Sambil menunggu dan berfikir sama ada nak masuk ke tak..aku selak jugak duit-duit yang ada dalam dompet tuh..takut tak cukup..kalau kat Malaysia boleh la nak basuh pinggan..kat Myanmar risau jugak kalau tak cukup jadi buruh keretapi maut aku nanti. Setelah menghabiskan rokok di tangan aku pun masuk...apa nak jadi-jadilah..takkan nak biarkan orang anggap orang Malaysia nih miskin sangat...Malaysia pride kena jaga juga( sebenarnya aku lapar sangat sampai tak boleh pikir dah)...Malaysia boleh.. Aku masuk orang yang sedang melantak mengalihkan pandangan kepada aku...sambil senyum aku duduk dan menyelak menu..Ala..takde la mahal sangat..harga makanan lebih kurang kat Mekdi je..Big Mac set large 2 set tambah ayam krispi je..(adalah dalam RM50 jugak habis malam tu)..Boleh la..Tapi aku pilih menu yang paling murah je..janji ada nasik..rindu nak makan nasik.



Restoran ni menyajikan mostly makanan India. Kat google dia claim halal restoran tapi segala beer ngan macam-macam air yang memabukkan yang aku tak pernah tengok pun ada di dalam rak kaca. Tawakkal je lah...Habis hidangan aku pun bayar dan meneruskan perjalanan. Kali ni dah takde nak ronda-ronda mana-mana dah..Badan penat..perut dah kenyang..Mata pun dah start kuyu...Aku kayuh laju-laju ke hotel..Harap-harap malam nih boleh tidur nyenyak di katil hotel yang empuk..Asik tidur dalam bas je...

Bersambung

Tuesday 1 May 2018

Myanmar : Inle Lake

Rasa nak demam aku gagahkan diri bangun subuh dan mandi air panas. Terus aku turun ke kaunter untuk booking bas ke Mandalay dan tengok apa pakej inle lake yang diorang ada. Berjaya aku dapatkan tiket ke Mandalay dan kali ini aku amik VIP bus memandangkan experience dengan bas biasa tak begitu mengujakan bagi aku. Bayar lebih sikit takpe asalkan selesa. Bak kata orang, pengalaman mendewasakan kita. Sambil2 tu aku tanya ada tak pakej pusing-pusing Inle lake dan berapa harga dia. Staff kat sana kata ada dan harga dia tawarkan pada aku still affordable so aku amik juga pakej inle walaupun satu bot tu aku sorang je sebab dah takde choice. Orang lain duduk di Inle 2-3 hari tapi aku duduk tak sampai 18 jam so kena hadap jugak la. Ini perkara biasa dihadapi kalau travel solo.



So aku naik dulu ke restoran dan breakfast dulu (breakfast percuma) pastu kemas barang utk check out..sebelum jam 9 pagi..aku book bilik hotel ni utk tidur 4-5 jam sahaja. Dah la biliknya boleh tahan best jugak kalau bandingkan dengan harga yang aku book haritu..Rugi..tapi aku travel bukannya nak duk hotel..Kalau nak lepak hotel rasanya baik aku duduk rumah kat Malaysia je. Nasib baik bini tauke hotel tu baik hati dia bagi aku letak beg dalam bilik dan dia cakap nanti balik tour boleh masuk bilik n mandi manda dulu sebelum pikap ke Mandalay sampai. Alhamdulillah...tak semua org Myanmar ni jahat..ramai juga yang baik2..org Malaysia pun tak kurang ramai yang jahat2..takde? Tu yang masuk simpang tak bagi signal tu..Tu jahat le bagi aku..boleh mendatangkan kemudhoratan...Kalau korang pun tergolong dalam golongan tu...sila insaf dan bertaubat...anda boleh mengubah dunia.




Usai makan dan mandi aku turun semula ke lobi pada jam yang dijanjikan. Boatman aku kebetulan sampai dan membawa aku ke jeti. Beliau kenalkan diri dengan nama Puda. Asalnya aku ingat dia bawak transport sendiri sebab kalau ikut map jarak dari Nyaung Shwe ke Inle jetty tak kurang dari 5km perjalanan. Sekali dia ajak aku jalan kaki menuju ke jetty di Nyaung Shwe. Dalam 2 km juga la Puda bawak aku ketempat bot dia parking. Ok jugaklah memandangkan badan yang tak berapa sihat berjalan kaki dapat meningkatkan anti body meskipun tak berpeluh sebab cuaca agak sejuk di waktu pagi. Puda menerangkan aku terlebih dahulu route yang nak dibawa aku. Aku cakap bawak saja la kemana2 sementara menunggu bas aku jam 6.30 petang nanti.



Nyaung Shwe ni ekceli pekan koboi la jugak nak kata standard dia macam pekan Beluran kat Sabah. Jalannya tanah merah dan tak berturap di kebanyakkan area dan kotornya boleh tahan macam kat Nepal, mcm kat Malaysia gak..tempat yang ada signboard "Jangan buang sampah disini". Perjalanan berjalan kaki kali ni berhenti di jeti setelah dalam 20-30 minit kami berjalan kaki. Puda masuk belakang bangsal sambil keluarkan gelen minyak utk bot. Setelah isi minyak kami pun gerak. Kemana hala tujuan kami? Kita tunggu selepas ini..




Inle ni sebenarnya bukan lah tempat must go aku. Ianya acara sampingan je. Yang utama adalah kat Bagan, Mandalay pun xde dalam senarai sebenarnya. Tapi aku terkenangkan pengalaman aku kat Siam Reap dulu. Beria2 nak gi mcm2 temple, siap amik pass 2 hari last2 tengok temple sehari je rasa nak muntah dah. So sebab tu aku amik acara sampingan dan aku syukur sebab amik keputusan macam tu. Sebabnya inle lake ni tempatnya menarik. Ia sebenarnya salah satu tasik air tawar terbest dan terbesar (sebenarnya no 2 terbesar di Myanmar dengan keluasan lebih kurang 45km persegi) di Myanmar. Kat sini UNESCO ada buat pusat penyelidikan berkenaan fauna iaitu mostly pasal burung dan juga hidupan marin seperti siput dan juga ikan yang mana terdapat beberapa spesis ikan hanya boleh didapati di Inle lake ini dan tidak ditempat lain di dunia. So sepanjang perjalanan korang akan nampak pelbagai spesis burung seperti burung camar mengejar bot yang mana menawarkan makanan seperti dedak (ni dedak real bukan seperti dedak kat Malaysia.). Selain dari tu boleh melawat rumah asal penduduk di sini yang dibina di atas air. Pejabat pos atas air pernah nampak? Ada kat inle.



Jauh jugak perjalanan keluar dari Nyaung Shwe ke tengah-tengah penempatan di Inle. Sempat juga kami melalui kawasan penangkap ikan yang gunakan kaki menangkap ikan guna bubu. Semakin dekat bot kami dengan diorang, makin dahsyat lak aksi akrobatik yang diorang lakukan. Terpegun aku. Sebaik sahaja Puda mendekati nelayan-nelayan tu diorang terus berhenti melakukan aksi akrobatik, mendekati bot kami dan salah seorangnya pegang tangan aku dan menghulurkan tangan yang satu lagi sambil mintak duit..lahanat betul..so aku bagi apa yang aku mampu dan terus diorang blah dari bot kami sebaik sahaja dapat fulus dari aku. Hilang rasa terpegun aku tadi.



Perjalanan diteruskan kali ini Puda berhenti di sebuah perusahaan memproses dan membuat souvenir dari perak (silver ye..bukan negeri Perak darul Ridzuan). Aku naik sekejap je, sempat la melihat macamana diorang kikis perak dan menjadikan ianya macam tali dan kemudiannya membentuk apa saja design yang diorang nak. Ada seorang awek folo aku kemana saja aku pergi dalam kedai tuh yang menerangkan macamana proses pembuatan dan bagaimana cara starting proses mengasing perak sehinggalah ke  finished produk. Harga barangan dalam tu memang bukan kemampuan aku sebagai seorang pengembara berpoket nipis untuk memilikinya. Boleh la beli tapi esok boleh la start jalan kaki balik ke Yangon.


 Aku bagitau Puda supaya skip kedai-kedai dan teruskan je perjalanan ke mana-mana spot-spot menarik yang takde berjual barang. Dia cakap OK dan kemudiannya destinasi seterusnya... perusahaan menjual kain-kain dan tempat menjual souvenir yang dibuat oleh wanita Padaung (long neck tribe). Sempat mengambil gambar kemudiannya aku macam biasa tengok-tengok apa yang patut tapi macam biasa harganya melantun. Apa yang dijual disini kebanyakkannya adalah kain tenunan macam skaf dan lain-lain selain dari beberapa cenderahati seperti fidge magnet dan patung-patung ukiran yang kecil. Aku sempat capai sekeping fridge magnet untuk ambil hati tuan punya perusahaan. Kenapa mahal ? Sekeping fridge magnet yang diperbuat dari kayu harganya lebih kurang RM10.  Dapat la sekeping cenderahati tapi time nak naik bot sempat la jugak dengar macam diorang ngumpat sebab aku datang tak beli apa yang mahal pun. Lantak korang la..



Kemudiannya aku remind balik Puda yang aku dah tak mau pergi tempat-tempat menjual dah sebabnya aku bukannya ada duit sangat, tambahan harga yang dipaparkan tuh bukan reasonable pun..ko buleh dapat lagi murah kalau kat town..kalau mencari la. Aku faham yang Puda dapat komisyen pada setiap benda yang aku beli tapi agak-agak la..dah pau duit bot, nak pau suh aku beli barang pulak. Lepas aku ingatkan dia, dia cakap OK dan dia dah insaf..so dia bawak aku ke perusahaan membuat cigar pulak. Dalam hati aku mamat ni memang tak paham bahasa betul dan aku redha..aku malas nak kusut-kusut kepala or marah dia so aku folo je naik ke tempat tuh.



Naik je kat rumah atas air tu, terdapat 3-4 orang awek Myanmar (ada makcik-makcik jugak) sedang memproses rokok atau curut buatan sendiri. Aku dan Puda duduk la dekat kerusi kecik yang disediakan tu. Salah seorang menyua aku sebatang curut untuk dicuba manakala dia kemudiannya nyalakan sebatang lagi untuk aku sambil menerangkan perbezaan yang terdapat dari apa yang dibuat disitu. Last-last aku beli jugak curut sekotak dengan harga lebih kurang 17USD (mahal), dalam tu ada dalam 20 batang lebih kurang la..Memang mahal dan buat budget aku lari..tapi OK je la..buat souvenir utk kawan-kawan Malaysia. 


Sedang minah cigar tu nak carik duit kecik buat balance aku, datang segerombolan omputeh kat tempat tuh. Sempat juga aku bersembang dengan mamat boatman omputeh tuh, mostly pasal bola sepak Malaysia yang meningkat maju (under 23) yang masa tu layak ke quater final AFC kalau tak silap aku. Sekejap je lepas tu Puda ajak aku blah dari tempat tuh sebab dia kata banyak lagi tempat nak dituju.


Puda kemudiannya singgah ke perusahaan membuat tenunan silk sebagai destinasi seterusnya. Aku pasrah. Aku dah tersenyum dari bot bila nampak ada seorang awek sedang menunggu di jeti rumah di atas air tersebut. Dalam hati harap-harap tak de rasa nak beli apa-apa sebab aku tahu harganya bukannya affordable bagi aku pun. 

Awek tu bawak aku ronda-ronda dalam rumah merangkap kilang membuat tenunan. Satu-satu dia terangkan kat aku, dari pembuatan kain sutera, pembuatan kain sutera campuran kapas dan lain-lain lagi. Sampai aku gi jamban pun dia tunggu jugak supaya aku tak lari dulu sebelum dia bawak aku masuk ke kedai menjual barang-barang hasil tenunan penduduk di situ. Tapi awek yang bawak aku jalan2 nih tak pushy, siap sembang-sembang lagi ngan aku pasal weather kat area sana. Lastly dah belek-belek kain ngan tshirt kat sana aku cakap ngan awek tu barang kat situ mahal sangat dan sambil senyum dia cakap..takpe..kalau tak beli pun takpe dan aku rasa dia agak ikhlas bila cakap camtuh.




Perjalanan diteruskan lagi dan kali ini destinasi tidak ke kedai atau mana-mana perusahaan (akhirnya) tetapi menuju ke salah sebuah pagoda yang agak besar dan terkenal di area Inle lake ini iaitu Phaung Daw Oo Pagoda. Kebetulan kami sampai agak lewat dan pasar pagi yang berada di perkarangan temple baru sahaja menamatkan jualannya. Setibanya aku orang ramai telah beredar dan peniaga sedang mengemas barangan untuk pulang kepada keluarga tercinta. Melepas aku nak merakam suasana masa pasar pagi tu tapi tak kisah lah, yang penting dah tak singgah di kedai-kedai mahal. Nak masuk temple ni kena bukak kasut or apa saja alas kaki korang kecuali stoking tapi bukannya setakat nak masuk bangunan malah kasut perlu ditanggalkan masa nak masuk pagar kawasan temple lagi. Maknanya sepanjang koridor korang kena berkaki ayam dan lantainya tidak begitu bersih sebab pengunjung yang ramai dan masa untuk membersihkan lantai agak terhad. So kena hadap je la kaki berpasir dan hitam selepas tu. Kawasan dalam temple agak besar jugak la dan di tengah-tengah temple tu ada sesuatu yang paling sacred dan hanya lelaki sahaja yang dibenarkan berada dekat dengan kawasan tu. Sebabnya aku ada nampak minah saleh diminta untuk tak naik ke altar tuh dan aku pun tak pergi ke altar walaupun dalam hati tertanya-tanya jugak apa yang ada disana. Agak lama jugak aku kat pagoda nih...selain mengambil gambar, aku juga ronda-ronda kawasan persekitarannya. Biasa-biasa je..takde apa yang spesel sangat pun.




So perjalanan diteruskan lagi setelah aku tunggu Puda menghabiskan kopi yang diminumnya kat warung berhampiran jeti. Habis kami menghisap rokok sebatang terus kami naik bot menuju ke
Nga Phe Kyaung Monastery yang mana lokasi terakhir perjalanan bot aku di Inle. Ianya terletak tak jauh dari lokasi terakhir kami berada yakni kira-kira 10 ke 15 minit perjalanan dengan bot. Nga Phe Kyaung Monastry ini adalah satu temple kayu yang sebenarnya femes sebab ianya tempat kucing banyak lepak...maknanya diorang bela kucing-kucing yang terbiar di area tu dan diberi makan free. Tak pernah lagi orang mintak kucing bayar kut apa yang diorang makan...Monastry ini diperbuat dari kayu dan dipintu masuknya banyak kedai jual barang-barang souvenir. Keadaan dalam tempat ni agak suram dan sunyi kecuali ada beberapa orang sami sedang membaca mentera yang aku tak pahami. Kat area luar yang aku nampak ada beberapa ekor kucing sedang melepak sambil makan tengahari disamping menikmati pemandangan tasik yang cantik. Hmm..aku pun tak makan lagi nih..Lapar la pulak..








Setelah habis ronda-ronda sekitar sambil mengambil gambar sikit-sikit, dalam jam 2.00 petang aku ajak Puda gerak dari monastry ini menuju ke tanah besar. Sepanjang perjalanan dapatlah menyaksikan pemandangan tasik yang agak memukau terutama bila melalui floating garden yang berada di tengah tasik. Hari yang semakin petang menambah bahang cuaca yang paginya tadi agak sejuk dan dalam 30 minit perjalanan kami tiba di jetty semula. Turun dari bot aku pun hulur bayaran seperti yang dijanjikan. Jenuh jugak dia cari baki duit pemberian aku sampai tahan member dia untuk tukar duit tu. Last-last duit baki tu aku hulur balik kat dia sebagai pemberian sedekah dan seterusnya aku meneruskan perjalanan mencari sesuap nasi mengisi perut yang dah banyak kali minta diisi.



Salah satu kedai yang aku tertarik nak pergi adalah Dormamali Halal Food Shop sebab nama dia seakan-akan dormamu (nama orang jahat dalam citer Dr. Strange) walaupun dari jetty ada beberapa kedai lain yang terletak dalam perjalanan aku ke pekan. Jauh juga aku berjalan dalam panas terik sebab kedai tu terletak dihujung Nyaung Shwe..(maksud aku dihujung area kedai-kedai di sana) Lintas jambatan, kena kejar dengan anjing dan lain-lain lagi akhirnya aku sampai jugak seperti yang ditunjukkan dalam map. Tapi kedai yang ada didepan mata aku ni kedai runcit dan bukannya restoran seperti yang terdapat dalam google. Mundar mandir sekejap aku didepan kedai tu kut-kut gps tersilap. Tak puas hati aku pusing satu round lagi deret kedai tu tapi map henpon aku tetap tunjukkan tempat yang sama. Yang buat aku was-was adalah kedai runcit tu dijaga oleh makcik keturunan India atau Rohingya (tak pasti sebenarnya) dan untuk menghilangkan was-was aku masuk ke kedai tu dan tanya adakah ianya nama kedai yang betul. Makcik tu tak paham cakap omputeh menambahkan kekeliruan aku. 





Setelah aku perhatikan keadaan persekitaran dalam kedai tu, aku ternampak dekat kaunter ada periuk nasik serta beberapa belanga hidangan dan juga di dinding terdapat gambar Kaabah dan tulisan Allah dan Muhammad. Alhamdulillah...tanpa was-was dan membuang masa lagi aku pun order makanan ngan makcik tu dengan menggunakan bahasa isyarat. Urusan selepas itu berjalan lancar..makan pun dah kenyang dan sebelum aku blah dari tempat tu tiba ada seorang brader berjubah membawa barangan ke kedai itu. OK...kalau ada orang berjubah berserban mesti ada masjid berdekatan. So selepas aku bayaran harga makanan, aku kembali berpeleseran di Nyaung Shwe disebabkan masih lagi awal untuk aku balik ke hotel.






Ya..lebih kurang sejam aku pusing Nyaung Shwe baru aku dapati ada satu masjid yang agak besar di pintu gerbang masuk ke Nyaung Shwe..Kebetulan ketika itu azan asar tapi aku tak masuk menunaikan solat sebab aku dah usai solat masa atas bot tadi. Sempat juga la aku melawat kedai-kedai dan pasar yang terletak di tengah pekan tu. Habis pusing pekan Nyaung Shwe, aku pun pulang ke hotel untuk packing barangan (sebenarnya aku dah pack dah pagi tadi). Aku mintak izin pada tauke hotel untuk mandi dan berehat dalam bilik sekejap  dan turun semula lebih kurang jam 6.30 petang. Dalam jam tu tuktuk yang menjemput aku bersama 2 orang awek omputeh dari Belanda pun tiba dan lepas mengambil lagi 5-6 orang penumpang lain kami dibawa ke jalan besar untuk menunggu bas ke Mandalay. Bas sepatutnya tiba jam 8 malam tetapi jam 9 malam, bas tu masih lagi belum muncul tiba..hmm...Adakah kejadian semalam akan berulang kembali?





Bersambung...