Sunday 3 March 2019

Maldives : Episod 1

Maldives adalah satu tempat yang semua orang nak pergi. Mungkin tak semua orang tapi aku memang nak pergi. Dah lama menyimpan niat, bukak website AirAsia aku dapat tiket pergi balik ke Maldives dengan harga kurang dari RM 760...siap dengan makan minum nasik lemak pak Naseer dan air mineral botol kecik dari spritzers. Sebenarnya lama dah aku beli tiket ni, sengaja aku peram lama sikit sebab duit beli tiket aku gagah lagi, perbelanjaan ground tuh yang masalah sikit sebabnya Maldives ni kan tempat orang-orang berada macam neelopah ngan kerabat-kerabat anak tan sri je yang lepak, so aku perlukan sikit masa untuk kumpul peruntukan ke sana.


Morning at Hulhumale...

Sedar tak sedar sampai la masanya untuk ke Maldives. Ada juga aku membaca tulisan-tulisan traveller kat fesbuk so sedikit sebanyak aku dah tau apa yang perlu dilakukan nanti dan juga belanja yang diperlukan. Untuk ke Maldives, sebagai rakyat Malaysia kita tak perlukan sebarang permohonan visa untuk ke sana tapi perlu ada booking hotel penginapan kat sana untuk memudahkan VOA (visa on arrival) nanti. Yup..kena buat VOA tapi tak dikenakan sebarang bayaran. (Bayaran yang penting kan?)

Penerbangan dari KLIA2 ke Maldives mengambil masa dalam 6 jam termasuk flight delay. Masalah utama bila amik flight AirAsia ke Maldives ni adalah flight nya sampai malam; dalam kul 8 malam waktu tempatan. So melalui bacaan aku, ramai yang amik keputusan untuk tidur je di airport malam ketibaan dan amik ferry atau speed boat keesokkan paginya. Memandangkan aku ni tak gemar tidur di airport atau stesen bas or keretapi, aku revise sket itinerary dengan amik hotel di hulhumale dan gerak ke pulau lain awal pagi esoknya...Semasa aku sampai, kalau ikutkan ada je speed boat ke pulau maafushi (last boat) malam tuh. Memandangkan aku dah tukar plan maka aku hendaklah ke hulhumale malam tu juga. Persoalannya, nak jalan kaki ke hotel ke tak malam-malam ni.

Terdapat 3 pilihan untuk aku ke Hulhumale. 

Pertama : berjalan kaki.. choice yang aku rasa tak berapa kena sebab dah malam. Ikutkan tak jauh mana pun airport ke hotel..Dalam 3-4 km je. 

Kedua : teksi..ini cara paling mudah tapi siap-siap la duit sebab tambang dari airport ke hotel (Bandar) dalam 80-100 rufiya yang bagi aku agak mahal jika dibanding dengan jarak dilalui. 

Ketiga : bas..pilihan ni yang aku amik memandangkan ianya jalan yang paling murah (selain jalan kaki) yang boleh didapati. Tambangnya dalam 20 rufiya ke bandar dan masa perjalanan sekitar 15-20 minit.


Untuk makluman korang tukaran matawang ringgit kepada Maldivian rufiya (ruf) adalah 10 ruf - RM 2.70. So tambang bas aku adalah RM 5.70 untuk 3-4km..mahal kan..kalau convert..kalau ikut duit diorang hanyalah RM 2 je..korang paham ke tak ni..kalau tak faham sila abaikan. Malam pertama aku book hotel yang paling murah yang boleh didapati di Hulhumale, single bed dengan tv pun takde..janji bilik air dalam bilik dan ada aircond. (Suhu kat Maldives macam Malaysia jugak..paneh) Aktiviti malam pertama aku di Maldives adalah tidur...



Sunrise di Hulhumale...



Sunrise di Hulhumale jugak...


Awal pagi, sebelum matahari keluar, aku dah keluar dulu. Tujuannya adalah mengejar matahari terbit. So dalam selepas menunaikan solat subuh, aku keluar berjalan-jalan bagi menyaksikan terbitnya mentari. Waktu pagi di Hulhumale sangat refreshing, cuaca tak sejuk sangat dan tak panas. Just nice kata orang Maldives. Waktu pagi di tepi pantai di Hulhumale nih agak tenang, tak ramai orang kecuali pempuan local membawa anak-anak untuk mandi laut dan juga pekerja-pekerja yang baru nak memulakan perjalanan ke tempat kerja. Selesai menikmati pemandangan sunrise pertama aku di Maldives, aku patah kembali ke hotel untuk breakfast. Breakfast adalah percuma (dah masuk dalam bayaran hotel) walaupun hotel agak biasa-biasa je dan takde tv (sapa nak tengok tv kat tempat paling romantik..walaupun aku datang sorang) serta single bed. Breakfast percuma adalah sangat penting bagi aku sebab di samping dapat membekalkan tenaga bagi perjalanan hari ini, ia juga amat menjimatkan kewangan. Makanan disajikan secara buffet maknanya memang aku akan belasah breakfast pagi nih dengan kadar yang paling optima. Menunya biasa je, ada nasik goreng, roti dengan jem dan butter, buah-buahan dan air fresh oren. Rasanya? Biasa-biasa je.


Ni bukan breakfast aku, nih kedai lain nih..

Selesai breakfast ada beberapa perkara yang perlu aku lakukan hari ini. Antaranya adalah tukar duit dan juga ke jeti untuk check tiket untuk aku ke Maafushi. Semalam belum lagi sempat untuk aku tukar wang di airport. Nasib baik la konduktor bas tu amik jugak USD tapi bakinya tak di pulang balik la. Sebelum tu aku dapatkan info dari staff hotel kat mana aku nak tukar duit sebab semalam masa aku keluar untuk beli air, kedai runcit yang aku pergi tu ada tukar duit tapi dia hanya amik USD sahaja manakala duit yang aku nak tukar adalah baki matawang rupee dari trip India tempoh hari. Setelah dapat info, aku pun gerak ke money changer yang terletak tak jauh dari hotel aku yakni kira-kira 800 meter.


Breakfast like a champion...Nih makanan pagi aku...untuk cover perjalanan seharian...

Antara sebab aku tak tukar duit adalah melalui pembacaan dari apa yang orang sharing dalam fesbuk adalah di Maldives diorang terima je USD tapi semalam aku nak try beli barang kat pasaraya, diorang hanya amik duit local sahaja iaitu rufiya. So nak tak nak aku terpaksa jugak tukar bagi memudahkan sebarang urusan nanti. Setelah tukar duit, aku berpeleseran di sekitar Hulhumale ini. Main target adalah untuk menjenguk jeti ferry yang berada di sebelah sana pulau disamping tuh mencari beberapa tempat menarik untuk dilawati di pulau ini.


Hotel yang terletak di tepi laut di Hulhumale...Hotel aku kat tepi jalan..so murah sikit la...



Salah satu dari lanscape yang terdapat di Hulhumale Central Park


Aku tak beli sebarang sim card, so aku dah tag lokasi yang nak aku pergi di dalam google maps di dalam henpon aku. Lepas uruskan hal pertukaran duit, aku teruskan perjalanan berpeleseran di Hulhumale. Hulhumale ini sebuah pulau yang bersambung dengan ibu negara Maldives dan ianya adalah sebuah pulau buatan yang baru sahaja 50% siap dan di bahagian utara pulau ini masih rancak dengan pembinaan. Pulau Hulhumale ini agak besar jugak, berpeluh-peluh juga aku nak ke jeti selain melepak di Hulhumale central park yang terdapat di tengah-tengah pulau tersebut. Kebetulan beberapa hari lepas ada Maldives marathon berlangsung, so di central park ni agak sibuk dengan kerja-kerja membuka peralatan yang digunakan semasa event tersebut.


Jetty Hulhumale ke Male...



Keadaan dalam jetty di Hulhumale menuju ke Male...



Jadual ferry ke Male..Jumaat diorang ada gap untuk solat...


Cut the story short, aku ke jetty untuk melihat jadual bot atau feri menuju ke Male island sebelum mengambil satu lagi feri untuk ke Maafushi. Setelah meneliti jadual ferry, aku kembali semula ke hotel, packing barang, mandi manda, check out dari hotel dan menuju semula ke jetty. Perjalanan menuju ke jetty mengambil masa dalam 20 minit disamping aku singgah ke supermarket untuk membeli barang makanan untuk perjalanan nanti. Perjalanan ke Male dengan menggunakan ferry mengambil masa kira-kira 20-30 minit dan berhenti di Hulhumale jetty terminal. Sebelum bergerak tadi aku dah tag jetty yang perlu aku pergi untuk ke Maafushi island, iaitu jetty no. 1 yang terletak tak berapa jauh dari jetty yang aku tiba tadi. Kalau berjalan kaki akan mengambil masa dalam 10 minit perjalanan.


Tiket ke Male naik ferry...



Keadaan dalam ferry ke Male...


Sampai di jeti no. 1, aku dapati takde sebarang ferry yang park kat situ, yang ada speed boat dan bot nelayan je. (jetty no. 1 nih dah dekat dengan pasar.) Agak lama jugak aku duduk kat situ tapi ferry yang ditunggu-tunggu nampaknya tak juga muncul-muncul. Memandangkan kawasan tuh sibuk dengan orang yang sibuk bekerja, aku pergi ke kedai untuk bertanya dengan orang yang sedang bekerja di kedai. Kalau mengikut apa yang mamat tuh bagitau jetty no. 1 memang tempatnya untuk ke Maafushi tapi untuk speed boat, manakala kalau nak naik local ferry kena pergi ke satu jetty lain dari Hulhumale jetty terminal.


Pemandangan sekitar laut dari jetty Hulhumale (di Male) ke Jetty No. 1

Nak tak nak aku kena pergi jugak ke Villingili Feri terminal yang terletak di hujung satu lagi pulau Male ini. Untuk makluman korang, kenapa aku nak naik sangat feri ke Maafushi dan bukannya speed boat adalah kerana perbezaan harga yang jauh bagi menggunakan kedua-dua jenis transportation nih. Bayaran yang perlu korang bayar untuk ke Maafushi dengan menaiki local ferry adalah USD 2 manakala dengan menggunakan speed boat pula adalah USD 25. Kan jauh perbezaannya tuh..tapi ada yang perlu korang tanggung untuk perbezaan harga yang jauh begitu. Masa yang diambil untuk ke Maafushi dengan menaiki feri adalah 1jam 30 minit hingga ke 2 jam manakala speedboat pula mengambil masa lebih kurang 25-30 minit perjalanan.


Jatty ikan di hadapan pasar...sebelah jetty no. 1


Memandangkan aku mempunyai banyak masa (tapi tak mempunyai banyak duit) aku memilih untuk menaiki local feri sahaja. Namun begitu aku kena ke Villingi Feri terminal terlebih dahulu yang terletak lebih kurang 2km dari jetty 1. Aku mengambil keputusan untuk tidak menaiki teksi (sebab tak nampak pun teksi) dan berjalan kaki menyusuri bandar Male sambil-sambil dapat melihat apa yang ada di ibu negara Maldives ini. Nampaknya bandar Male ini bukanlah seperti yang aku imagine. Imiginasi aku sebelum ke sini adalah bandar ini dipenuhi oleh awek-awek mat saleh berbikini di sekitar bandar (macam dalam gambar-gambar kat instagram), tapi kenyataannya adalah amat berbeza sekali. Bandar Male ini bagi aku amatlah sesak terutama sekali dengan motorsikal.

Lebih kurang 45 minit juga aku berjalan menuju ke jetty disebabkan keadaan trafik yang agak busy. (masa nih budak-budak baru balik sekolah) Cuaca agak panas dan berbahang melambatkan juga perjalanan aku namun sampai juga ke destinasi tujuan aku. Sampai-sampai je aku terus beli tiket feri tapi aku perlu menunggu dalam lebih kurang 1 jam 30 minit sebelum feri bertolak. So aku amik peluang untuk berpeleseran sebentar kat area jeti tuh. Di sebelah jeti terdapat sebuah food court yang agak besar dan menjual pelbagai jenis makanan dan terdapat sebuah taman permainan kanak-kanak di depannya. Belum lagi masa makan, aku cuma berjalan-jalan sahaja meskipun ada gak beberapa orang brader yang kerja kedai makan offer aku makanan yang dijual di kedai mereka.


Done beli tiket ke Maafushi...lepak-lepak sambil menunggu feri...


Last-last aku hanya duduk di belakang sebuah bangunan telekomunikasi sambil menghisap rokok sambil kebetulan ada wifi free kat situ walaupun line nya sekejap ada sekejap takde. Tetiba aku ditegur oleh seorang guard yang bertugas di situ. Aku ingatkan dia nak marah aku sebab merokok kat situ, rupa-rupanya dia nak ajak aku bersembang. Banyak jugak yang kami sembangkan lebih-lebih lagi pasal pengalaman uncle tuh yang merantau selama 15 tahun merantau sekeliling dunia melakukan pelbagai pekerjaan untuk mencari nafkah. Melalui cerita uncle tuh, dia bekerja sebagai guard tuh sebab bosan duduk di rumah. Isteri dah meninggal dan anak pun takde, nak mengembara lagi, umur dah tua, so dia pun kerja la apa yang ada di Maldives. Best jugak lepak-lepak sambil bertukar-tukar cerita sehingga lah sampai masa untuk aku beredar memandangkan feri dah nak bergerak dari jeti.


Keadaan dalam local feri dari Male ke Maafushi...free seating..



Senja dalam feri...panasnya boleh tahan..angin pun takde...

Feri menuju ke Maafushi ini free seating, maknanya korang boleh duduk di mana-mana sahaja asalkan ada seat kosong. Tapi feri nih betul-betul bergerak slow sampaikan tak terasa angin masuk dari tingkap yang terbuka. Kerusi pulak diperbuat dari kayu yang membuatkan perjalanan tak berapa selesa ditambah pula cuaca yang agak panas meski pun waktu pada masa tuh dah menunjukkan jam 3 petang. Perjalanan selama lebih dari sejam setengah; meskipun tak seteruk keadaan dalam bas dari Udaipur ke Jodhpur, tapi boleh tahan berlengas jugak badan masa naik feri nih. Akhirnya selepas beberapa stop, local feri yang aku naiki tuh pun sampai di destinasi yang aku tuju iaitu Maafushi island dalam jam 5.30 petang. Fuh..masak...

Bersambung...