Monday, 16 October 2017

Journey To The North : Dalat

Da Lat bukannya salah satu dari destinasi dalam perancangan aku memandangkan masa untuk aku luangkan dalam perjalanan adalah singkat untuk cover negara Vietnam yang amat luas ini dan meskipun aku dah buat plan mengenai jarak dan masa perjalanan namun begitu banyak juga yang tidak mengikut apa yang dirancang. Bak kata orang, kita hanya merancang tapi Tuhan yang menentukan.

Kedudukan Da Lat dari Mui Ne tidaklah begitu jauh iaitu sekitar 150km sahaja namun begitu masa yang diambil adalah dalam sekitar 3 setengah jam. Bas bersaiz bas mini dengan 20 ke 30 seater tiba di depan hotel aku dalam jam 745 pagi dan kali ini nasib agak lebih baik; tidak perlu duduk dilantai bahkan kerusi bas mini lebih empuk lagi. Setelah setengah jam perjalanan barulah aku tahu kenapa bas mini digunakan bagi perjalanan ini dan bukannya bas ekspress biasa. Keadaan jalan dan bentuk mukabumi sepanjang perjalanan adalah berbukit-bukit dan bergunung ganang ditambah pula dengan keadaan jalan yang dibina dilereng bukit menyebabkan ianya bengkang bengkok bagai ular dipalu. 



Kebanyakkan perjalanan adalah mendaki dan itulah sebab utama walaupun jarak hanya 150km perjalanan mengambil masa lebih dari 3 jam..eh..dah sebutkan kat atas tadi..Sepanjang perjalanan kami dihidangkan dengan pemandangan yang memukau bak Cameron Highland. Aku yang pada asalnya nak tidur terus tak jadi tidur sampailah ke destinasi dek pemandangan saujana hijau mata memandang.


Setelah beberapa lama perjalanan dan 1 pit stop di RnR dalam hutan yang mana sebenarnya agak cool bagi aku, akhirnya bas tiba di Dalat. Sampai sahaja di Dalat..aku terus sahaja membeli tiket bas untuk ke Hoi An melalui tour agent company yang sama dengan bas aku naiki dari Mui Ne ke Dalat  tuh. Precaution action..Dari tour agent office aku kemudiannya menapak dalam 2-3 km menuju ke hotel meskipun awek travel agent tu mengoffer untuk memanggil teksi untuk aku. "Very far..3 kilometers"..3 kilometers? Ok..I'll walk..3 km tu bukannya dekat tapi Da Lat nih seronok untuk berjalan disebabkan cuacanya yang dingin sekitar 16-24 darjah celcius.




Dalam 3 km aku menapak dapatlah aku memerhatikan keadaan bandar Da Lat ini secara lebih dekat lagi. Ia merupakan sebuah pekan yang tidakla begitu besar dan yang paling best adalah keadaan trafik yang bagi aku agak tenang, tidaklah menggila seperti Saigon. Menariknya Da Lat ini selain dari cuacanya yang dingin, bunga-bunga juga ditanam di sepanjang jalan menjadikannya sebahagian dari lanskap yang menarik di kota ini.


Lebih kurang 1 jam kemudian aku tiba di hotel a.k.a. hostel penginapan yang aku tempah melalui booking.com. Ianya adalah sebuah budget hotel dengan harga yang agak berpatutan walaupun aku hanya menyewa 1 katil dalam 1 mixed dorm. Memandangkan katil aku belum lagi siap, aku memohon kebenaran awek cantik reception untuk meletakkan beg aku di bahagian penyimpanan beg terlebih dahulu dan keluar memerhatikan keadaan sekitar sementara menunggu penghuni katil aku check out.




Rancangan asalnya adalah untuk berjalan-jalan sekitar hotel saja merebak sehingga sedar-sedar saja aku dah berada di tengah town tadi. Ada pesta keramaian di tepi tasik dengan khemah-khemas besar tapi aku tak masuk sebab nampaknya macam promosi jualan henpon dan juga baju-baju kanak-kanak yang banyak terdapat kat tanah air. Cuaca suram yang pada mulanya aku fikirkan adalah biasa bagi kawasan tanah tinggi rupanya adalah tanda-tanda hujan nak turun. Sedang aku ralit mengambil gambar di tepi tasik gerimis mulai menitis menyembah bumi.





Sedang aku berlari-lari anak mencari perlindungan (yang takde pun kat tepi jalan time nak tuh) zrass...mencurah-curah air hujan secara tiba-tiba membasahi tanah daratan. Dalam 100 ke 200 meter juga lah aku berlari ala-ala marathoner sehingga akhirnya aku temui gazebo di satu taman bunga di tepi jalan yang dikongsi bersama oleh mat motor tempatan. Dalam sejam dua jugalah aku terperangkap di gazebo tersebut. Cuba korang bayangkan...terperangkap dalam keadaan hujan, basah, cuaca sejuk, angin kencang dan yang paling best skali rasa nak terkencing...hmmm...pakej..



Da Lat Flower Park

Akhirnya matahari kembali menyinar setelah sekian lama. Destinasi pertama yang aku lawati adalah Da Lat flower park yang hanya 300 meter dari tempat aku berteduh tadi. Bagi yang menggemari bunga-bunga atau flora, Da Lat flower Park adalah salah satu tempat yang mesti dilawati sebabnya ia mengumpulkan pelbagai jenis bunga-bunga berwarna warni di situ. Selain dari bunga terdapat juga pelbagai jenis lanskap dan pokok-pokok yang di hias menyerupai bentuk-bentuk lain seperti binatang ada terdapat di sini. Bayaran masuk ke Da Lat flower park adalah 30k dong bagi setiap seorang dewasa.




Masuk kat taman bunga yang berkeluasan 7000m² secara jujurlah ye..mula-mula memang exited walaupun aku bukan penggemar bunga yang sejati tapi setelah sejam dua duduk lepak kat dalam tu naik jemu mata memandang. Tambahan cuaca kembali menjadi gelap semula menyebabkan aku cepat-cepat berangkat keluar dari Flower Garden ini. On the way keluar sempat pulak sorang uncle menahan aku mintak aku tolong dia pasang pasangkan gerai dia. Sempat juga dia mengambil kesempatan terhadap tourist yang innocent macam aku nih..Sekejap je aku tolong uncle tuh tapi sempatla aku mengajar dia cara-cara nak mengetuk paku dan membuat tupang dengan cara yang betul..habis kerja segera aku cabut risau uncle tuh suh buat construction dengan skala yang lebih besar lagi.







Da Lat Train Station

Antara satu sebab kenapa aku nak ke Da Lat in the first place adalah untuk melawat tempat ini. Entah dimana aku terbaca artikel mengenai train station ini membuatkan aku melanjutkan perjalanan ke Da Lat disamping ketiadaan bas untuk ke utara dari Mui Ne. Stesen keretapi ini dibina pada 1932 oleh arkitek dari Perancis (yup..semasa itu Vietnam masih lagi dalam jajahan Perancis) dan telah disiapkan sekitar 6 tahun kemudiannya. Digarap dengan senibina Art Deco (Perancis) dan juga dicampur dengan rekabentuk rumah kediaman tanah tinggi Vietnam, ianya ditinggalkan begitu sahaja semasa perang Vietnam tetapi digunakan semula setelah tamat perang.



Di bahagian dalam bangunan ini agak gelap memandangkan masa aku melawat tempat ini sudah hampir Maghrib tambahan pula cuaca suram dek hujan namun begitu ia dihiasi oleh stained glass pada tingkap sama seperti yang terdapat di gereja-gereja lama.



Stesen keretapi ini masih lagi digunakan selain dari itu, terdapat juga gerabak-gerabak lama yang dijadikan pameran disini dan digunakan sebagai tempat jualan barang-barang souvenir. Berlambak orang mengambil kesempatan bergambar di atas kepala gerabak dan juga landasan..yang masih digunakan. Yang selfie kat landasan pun memang ramai..lepas dia, dia lagi...sampai keretapi sampai pun diorang masih dok kat landasan mengambil gambor dan buat tak peduli ngan keadaan persekitaran. Sekali kakitangan keretapi itu jerit marah kat semua orang yang tak reti nak bersurai tu baru lah mereka cepat-cepat lari dari landasan. Padan muke diorang termasuk dengan aku sekali.



Keluar dari stesen keretapi Da Lat, aku berjalan pada asalnya untuk menuju ke Crazy house yang terletak tidak jauh dari hotel aku. Crazy house ini adalah sebuah rumah penginapan (hotel) yang dibina oleh seorang arkitek wanita tempatan yang berkonsepkan nature seperti tumbuh-tumbuhan dan gua. Kalau korang stay di sini seumpama tinggal di dalam bilik yang di adaptasi dari gua.

Dalam perjalanan hujan turun dengan lebat semula menyebabkan aku mencari perlindungan di Lam Vien square. Lam Vien square ini adalah satu dataran yang terletak menghadap tasik Xuan Huong dan apa yang istimewanya adalah di bawah dataran ini terdapatnya sebuah shopping mall setinggi 3 tingkat di bahagian underground. Shopping mall nya biasa-biasa je tak se gah pavilion or Klcc tapi untuk anak-anak muda tempatan melepak bagi aku kira oklah lebih-lebih lagi bagi pengembara macam aku yang melawat time musim hujan ini.

Aku tinggalkan Lam Vien square dan teruskan perjalanan. Crazy house tu tak jauh dan 20 minit kemudian aku berada di hadapan hotel tersebut. Lebih kurang 5 minit juga aku berdiri diluar Crazy House memikirkan sama ada nak masuk ke tak. Satu..hujan..Dua..Gelap..nak ambik gambar apa pun tak boleh..dan ketiga..kena bayar 40k dong untuk masuk..ok..kena bayar terus aku tak jadi..bukan sebab kedekut..tapi bayar entrance fee pastu duduk dalam gelap dan basah..hey..bazir






Setelah berpenat lelah sepanjang hari, short term goal aku pada waktu malam ini adalah mencari makanan. Sepanjang pembacaan aku di Da Lat ini tiada kedai makan atau restoran halal (sila betulkan aku sekiranya ada yang salah atau updated informasi) yang ada cumalah restoran vegetarian yang bagi aku adalah pilihan yang terbaik sekiranya tiada kedai halal. Setelah membuat sedikit pembacaan, antara restoran vegetarian yang paling femes dan mendapat review yang sangat menarik dari tourist adalah Hoa Sen vegetarian restaurant. Ianya terletak di jajaran bangunan di Phuong 1, di antara deretan beratus-ratus kedai yang terdapat di tengah pekan, berhampiran ( tak begitu hampir pun,..dalam 500 meter jugak lah) dari pasar Da Lat. Segala cobaan tambah lagi memeritkan apabila sedang aku menggagau mencari lokasi sebenar restoran ini, henpon aku tiba-tiba mati dek kehabisan bateri.

Berjalanlah aku berpusing-pusing tapi tak jumpa-jumpa..penat dan lapar..it's time to give up..aku berhenti sekejap untuk mengambil udara sebentar dan mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke hotel. Sebaik sahaja aku buat keputusan rupa-rupanya barulah aku sedari bahawa aku sebenarnya berada di hadapan restoran yang aku nak tujui. Tidakkah Tuhan sayang pada kita semua?

Aku masuk, aku duduk dan aku order makanan. Kat restoran ni banyak pilihan tapi aku pilih yang paling sedap tapi murah..iaitu mihun tomyam sayur dengan air teh cina ais. Makanannya serius sedap mungkin sebab lapar atau errr..tapi sebenarnya memang sedap..ditambah pula dengan ada percuma semangkuk sayur dari pelbagai jenis. Esok aku akan cuba lagi..kali ni bila perut tak lapar untuk buktikan mihun tomyum sayur tu memang sedap...



Dah habis melantak, apa lagi balik tidurlah. Sampai di hotel selepas mandi dan buat apa yang sepatutnya, aku lepak di cafe bawah hotel dan menikmati kopi ais vietnam. Kopi Vietnam memang best, pekat..lemak dan kalau tak berhati-hati, sekali sedut je terus habis. Kalau boleh aku nak minum 4-5 gelas cuma harga segelas kopi ini dalam RM6.

Habis minum terus tidur di bilik yang dikongsi dengan lagi 5 orang penghuni bercampur laki dan perempuan. Kat hostel ni biasanya walaupun bercampur laki perempuan memang xde masa nak skodeng-skodeng orang lain sebab penat. Lagipun biasanya hostel-hostel macam nih ada tirai di katil masing-masing. Katil selesa dengan ada plug dan loker masing-masing untuk simpan beg..

Bas aku ke Hoi An dijadualkan pada jam 3.00 petang oleh itu aku ada beberapa jam untuk berpeleseran di Da Lat ini namun begitu aku mengambil keputusan untuk melakukan perjalanan ringan sahaja memandangkan long haul bus trip hari ini. So target aku adalah untuk melihat air terjun dan juga pekan atau pasar Da Lat yang telah aku lalui malam tadi.

Awal pagi lagi aku dah bangun dan bersiap2. Turun sahaja ke Lobi hostel awek reception yg cantik umpama model tu bertanyakan aku nak minum dan makan apa. Abis..kopak juga 15 ke 20 ringgit aku pagi ni. Aku jawap kopi ais cukuplah demi mengambil hati awek cun tu dan menjaga maruah rakyat Malaysia agar tak dicop miskin. Tapi bila dia cakap breakfast dah include dalam bayaran hotel, terus aku order hidangan paling Mahal dalam menu..Vege style..xmau pork dan ham. Haha..belagak tp kedekut taik idung masin...bukan kedekut tapi menjaga budget...roti yg dibawa dari tanahair pun dah habis dibuang kat tong sampah sebab dah expired...so faham-faham je la...

Usai sarapan maka bermulalah perjalanan aku Hari itu...destinasi pertama adalah...


Camly Waterfall

Dari banyak-banyak air terjun yang ada di Dalat, Camly waterfall adalah air terjun yang paling dekat sekali dengan hotel aku dan tak perlukan pengangkutan awam atau sewaan untuk ke sana. Dengan jarak kira-kira 2 km, aku hanya berjalan kaki sahaja menuruni bukit (pergi turun bukit..balik kang baru la tau hadapnya) ke destinasi. Bayaran masuk untuk melihat air terjun ini adalah 20k dong bagi manusia dewasa. Kalau tak silap aku Camly waterfall ini adalah salah satu dari air terjun yang kecik yang terdapat di Da Lat. Ada beberapa lagi air terjun yang lebih dahsyat lagi seperti Elephant Falls atau Pongour Falls yang seringkali menjadi pilihan kaki fotografi tersohor namun untuk perjalanan 1 malam seperti aku memang tak terkejar disebabkan faktor masa dek kerana jaraknya yang agak jauh dan perlu mengambil pakej atau sewa kenderaan. OK...berbalik pada Camly falls tadi...meskipun aku cakap tadi yang Camly Falls ini adalah air terjun yang kecik sahaja namun ianya agak menarik juga cuma tak pasti kita boleh trekking naik ke tak..rasanya macam tak boleh.



Perjalanan aku diteruskan menuju ke pasar Da Lat yang terletak kira-kira 4km dari Camly falls. Tak ada apa yang nak dibeli sebenarnya cuma nak habiskan masa dari asik tidur di hostel disamping melihat-lihat kehidupan sebenar rakyat marhaen tempatan. Pasarnya macam pasar-pasar lain juga, part barangan basah memang basahlah lantai cuma aku tak masuk area ini disebabkan banyak barang-barang yang tidak halal takut apabila berjalan air merecik ke seluar, abislah..dahla seluar ada selai dua je. Apa yang aku perhatikan di sini selain dari kedai-kedai dalam pasar ramai juga yang berniaga diluar kawasan pasar di kaki lima.


Kalau ke sini boleh lihat kehidupan rakyat marhaen kota Da Lat. Tidak dapat dinafikan ada yang kaya raya di sini tapi majoritinya berkehidupan sederhana dan nampak macam hidup kais pagi makan tengahari. Biasanya kalau aku berpeluang ke luar negara, antara tempat yang aku lawati adalah tempat-tempat yang macam ni sebab ianya agak memberikan kesedaran pada aku tentang berapa beruntungnya kita hidup di negara sendiri.


Ok.Sudah sampai masanya untuk menghadapi mihun tomyam Hoa Sen untuk kali keduanya. Kali ini kurang lapar sebab dah makan pagi tadi dengan tujuan untuk mencari jawapan..adakah tomyam di Hoa Sen ini sesedap semalam. Ekceli itu bukanlah sebab utama aku kembali. Sebab utama adalah untuk mengisi perut sekenyang mungkin bagi menghadapi perjalanan panjang malam ini menuju ke Hoi An.



Bersambung...

2 comments:

  1. Fatimah Restaurant is the only HALAL place in Dalat.
    You can search Google map for it. Nguyen Du Street. Dalat

    ReplyDelete