Showing posts with label belitung. Show all posts
Showing posts with label belitung. Show all posts

Friday, 27 May 2022

Kesimpulan dan Tips Perjalanan di Belitung

Secara jujurnya, kalau aku tak pernah tengok movie Laskar Pelangi, memang aku tak tahu akan kewujudan kepulauan Belitung nih. Tipu la kut..tahu..cuma xde daya penarik nak melawat kesini. Filem tuh ditayangkan sekitar 2008 dan menjadikan kepulauan Belitung sebagai lokasi utama filem tuh. Kenapa aku suka filem ni? Di masa tuh, kalau di Malaysia tengah rancak (berdosa) cerita-cerita hantu, rempit dan bohsia, gangster yang tak masuk akal dan tak pasti apakah faedahnya pada meningkatkan positive vibe pada masyarakat. 

Manakala kalau kat tv pulak macam biasa lah (still berterusan sampai la sekarang)..cerita cinta anak tan sri yang ngorat perempuan miskin tapi mak dia tak suka dan tak bagi kawan dengan anak org miskin tuh. Pastu anak tan sri tu kawin jugak tapi mak dia tak suka..ayah dia OK tapi ikut juga dengan kehendak mak dia..bla bla bla...So aku beralih kepada filem2 Indonesia yang mana penerbitnya lebih kepada cerita-cerita rakyat..cerita-cerita patriotik yang pada aku lebih berfaedah..jadi di sini lah aku jumpa movie Laskar Pelangi yang memperkenalkan aku dengan pulau Belitung nih.




Kepulauan Belitung nih terbahagi kepada 2 pulau besar dan pulau kecik-kecik yang aku tak pasti..yaitu Bangka Belitung dan Belitung itu sendiri.. Kepulauan Belitung nih terletak di tengah-tengah antara hujung kepulauan Sumatera dan juga Kalimantan. Belitung nih bagi aku macam juga kepulauan lain di tanah Indonesia, iaitu ada tarikan local tourism nya yang tersendiri..sama gak cam Malaysia. Cuma cara promosi nya itu yang membuatkan ianya lebih expose dari yang lain. Aku bahagikan beberapa kategori untuk info dan juga sebagai rujukan korang semua. Antaranya adalah seperti yang dah aku listkan di bawah:


Penginapan

Kat sini ada banyak jenis penginapan atau bahasa mudahnya hotel yang boleh korang diami bergantung pada budget yang korang ada. Pusat bandar atau pekan bagi Belitung ni adalah Tanjung Pandan. Tanjung Pandan nih taklah besar sangat tapi menawarkan hotel yang agak pelbagai la jugak. Kalau budget traveler cam aku biasanya amik bilik hotel yang paling murah. Aku biasanya booking pakai Agoda, dan dari pengalaman aku, takde masalah sangat untuk check in atau dapat bilik ikut kemampuan aku. Lagipun aku ada cash back atau Agoda Cash yakni point atau duit yang aku dapat balik masa amik bilik2 dalam trip sebelumnya. Kat Belitung nih aku amik bilik hotel dalam RM120 untuk 3 malam bermakna harga untuk 1 malam adalah sekitar RM 40 termasuk charge dari Agoda tuh sendiri. Hotel aku tuh terletak di tengah-tengah Tanjung Pandan so takde view apa-apa pun. Cuma dekat tengah town dan mudah nak carik makan atau key chain. Kalau nak penginapan lagi mewah pun ada, lokasinya terletak di jalan pesisir pantai menghadap laut di Tanjung Pandan. Even kalau korang nak duduk even Sheraton pun ada kat sini tapi jauh sikit dari Tanjung Pandan la.


Banyak je hotel-hotel yang ada kat sekitar pulau nih cuma aku rekemen kat Tanjung Pandan nih sebab fasiliti banyak di sini. Makan, jalan-jalan dan nak ngopi pun mudah. Lagipun dekat dengan airport (takdela dekat sangat dalam 30 minit jugak la naik motor.) Selain Tanjung Pandan, belah Sijuk pun OK untuk menginap. Kat sana kurang hotel budget, lebih kepada hotel-hotel mewah dan jugak resort-resort. Pantainya pun lebih padu dan dekat ngan pantai Laskar Pelangi. Satu lagi tempat menginap adalah di Manggar. Manggar nih boleh dikatakan sebelah ujung pulau yang satu lagi. Kat sini lah tempatnya replika Sekolah Muhammadiah aka sekolah Laskar Pelangi tuh terletak. Tak rekemen sangat sebab jauh dari airport tapi kalau menginap untuk 1 malam untuk dapatkan feel kat sana bagi aku kira ok la.


Pengangkutan

Kalau di Belitung nih aku macam tak nampak sebarang pengangkutan awam macam bas tambang atau angkutan kota..setakat yang aku perasan lah..Teksi tuh macam ada nampak tapi tak pasti berapa biaya nya.Rekemendasi aku, kalo korang datang ramai..it's better kalau korang amik supir..naik bas pariwisata (bas pelancongan) atau naik innova / van hiace ataupun yang sewaktu dengannya. Sama ada korang boleh deal dengan orang perseorangan atau boleh je book dengan mana-mana tour agent la. Dengan tour agent bayarannya mahal sikit tapi agak proper la dan perjalanan korang berkemungkinan ada insurans. 


Kalau datang 2-4 orang boleh je sewa mobil (kereta) di sana dan harganya tak begitu mahal pun lagi-lagi kalau bayar tongtong. Korang tengoklah mana yang berbaloi dan selesa serta kena dengan budget korang. Solo rider macam aku nih..motor la jadi pilihan hati..Sewanya murah, senang parking, kos efficient dan boleh uturn dimana saja termasuk kat tengah jalan besar. Cuma yang tak best nya, memang rentung la engkau sepanjang perjalanan.


Memandangkan aku hanya sewa motor..so kelayakan bercerita hanya untuk motor saja ya..Kalau di Belitung nih agak banyak jugak kedai yang menyewakan motor..selalunya kalau dia sewakan motor, mesti dia akan sewakan kereta jugak..so ada pilihan di situ. Harga sewa motor bergantung pada jenis motor yang korang nak sewa..harga standard bermula dari rp75k untuk motor paling kecik iaitu Honda Beat sehinggalah kepada motor yang aku sewa iaitu Yamaha Nmax iaitu rp125k bagi sehari semalam. OKlah tu kot..tak sampai RM40 untuk sehari semalam. Kalau sewa motor biasanya dia akan sertakan 2 buah helm (helmet) dan baju hujan dalam tempat letak helmet atau compartment bawah seat.

Trafik di kepulauan Belitung nih x begitu sibuk..kalau sibuk pun time tengahari kat Tanjung Pandan. Itu pun sebab budak baru balik sekolah. Kalau kat tempat lain..kadang-kadang engkau sorang je kat jalan raya tuh. Keadaan jalan pula kira ok la..lebih kurang jalan kampung kat Malaysia..x begitu rata tapi xde pulak lubang-lubang..Setakat nak bawak 100km/h tu xde masalah langsung.


Makan minum dan sosial masyarakat

Kalo duduk di Belitung nih korang ontok2 je..takde apa yang nak dikejar. Tak perlu menggelupur..relek-relek sudah..amik masa sikit ngeteh kat kedai-kedai kopi terutama kat Tanjung Pandan..Ada a few kedai ol skool untuk budak2 ootd.. Selain dari itu banyak jugak makanan yang boleh korang cuba tapi antara yang aku rekemen adalah mi Belitung..makanan asli Belitung dan harganya mampu bayar. Makanan halal? Yang nih korang kena tengok jugak..Ramai yang menetap di bandar masyarakat berbilang bangsa..diorang semua orang Indonesia tapi ramai gak yang berbangsa cina (diorang panggil tionghua) dan selebihnya orang melayu (ya..brader aku amik motor tuh cakap bahasa asal di Belitung adalah bahasa melayu...mirip dengan bahasa orang malaya dari bahasa Indonesia). So korang yang mencari makanan halal kena usha-usha dulu sebelum masuk ke kedai.


Kebanyakan orang-orang di Belitung nih baik2 dan peramah..kecuali sekali je aku tengah lepak kat pantai Burung Mandi, ada satu pakcik tuh buat tak dengar je aku dok tanya-tanya dia...yang lain semuanya mesra dan memberi kerjasama yang baik serta mudah untuk berurusan. Untuk makluman korang semua, Belitung nih mostly kawasan kampung dan dipenuhi kawasan hijau berupa hutan dan ladang-ladang so kalau korang dari bandar..jangan la ingat kat sini suasana bandar-bandar besar cam di Malaysia.


Tempat Menarik

Tempat menarik untuk dilawati di Belitung nih memang banyak tapi untuk kepuasan hati korang...kena tengok apa yang korang suka untuk lawati. 

So aku pecahkan kepada beberapa kategori untuk mudah bagi korang. Ada tempat-tempat nih yang aku pergi dan ada juga yang aku tak pergi atau masuk sebab aku banyak buat side detour..kiranya ini tempat-tempat yang aku boleh rekemen untuk korang kalau datang ke Belitung..kalau korang sempat ronda lah..

1. Pantai / Laut
    a. Pulau Lengkuas
    b. Pantai Tg Kelayang
    c. Pantai Laskar Pelangi
    d. Pantai Tg Tinggi

2. Hutan / Alam semulajadi / Geosite
   a. Danau Kaolin
   b.Eco wisata Gusong Bugis / Belitung Mangrove Park
   c. Open pit Namsalu
   d. Tebat Rasau Lintang


3. Bangunan 
    a. Sd Muhammadiyah
    b. Muzium Kata Andrea Hirata
    c. Dermaga Kirana
    d. Rumah Adat Belitung





Perbelanjaan

Perbelanjaan keseluruhan secara detailnya tak dapat aku nak bagi sebabnya..sama seperti pos Aceh tempoh hari..semuanya ada dalam henpon aku yang telah long gone.

Ok..aku congakkan untuk korang secara basic calculation ya..untuk ground sahaja

Hotel                      Rp 120k x 3 malam    -  Rp  360k

Sewa motor              Rp 125k x 3 hari       -   Rp 375k

Makan                       Rp 100k x 4 hari      -   Rp 400k

Bensin / minyak         Rp 50k x 3 hari        -   Rp 150k

Entrace fee                Rp 30k x 3 hari        -   Rp 90k

Parking                     Rp 10k x 3 hari         -   Rp 30k

Souvenir                  Rp 200k                   -  Rp 200k  

Kudap-kudapan         Rp 50k x 3 hari        - Rp 150k

Jumlah Keseluruhan Rp 1 755 000 (bersamaan RM585)


Secara kasarnya ini lebih kurang perbelanjaan aku semasa kat Belitung nih..sebenarnya kurang lagi tapi aku kira secara lump sum la sebab tang makan tuh sebenarnya aku nih sehari makan sekali dua saja..sebab tuh nampak sikit..kalo korang jenis makan sehari 18 kali dan sekali makan 17 pinggan korang kira la sendiri belanjanya.


Secara personalnya bagi aku trip ni kira Ok Ok lah..takde la trip yang super best tapi takde la tak best. Bagi aku yang penting korang dapat travel tempat-tempat menarik dan kenal la sikit sebanyak penduduk dan kehidupan orang yang duduk di sana..Dapat hiking sikit-sikit, ada tempat menarik laut dan hutan..dan yang paling penting bagi aku, perbelanjaan nya tak begitu keras dan harga mampu pergi dan marhaen..Sekian dulu untuk trip kali ini dan berjumpa lagi di lain waktu...Insya Allah..

Tamat

Sunday, 20 March 2022

Mengembara ke negeri Laskar Pelangi part 4

 Akhirnya dalam lepas sikit dari waktu tengahari aku tiba di hotel..perut kelaparan tapi aku nak rehat dalam aircond barang sekejap, mensucikan diri dan solat sebelum keluar semula.Aku memang dah ada plan nak makan apa dan kat mana dan kebetulan kedai tuh walking distant je dari hotel aku..so ontok-ontok sudah..takde apa yang nak di rushing pun kecuali takut kedai tuh tutup je..


Malam semalam aku dah cuba makan mi Belitung yang katanya adalah makanan antara paling terkenal (yang affordable) di Belitung dan verdict aku adalah biasa-biasa saja..nak kata sedap sangat tu tidaklah tapi tidaklah kata tak sedap..tapi pada aku, kalo nak tau betul sedap ke tak kena cuba makan kat tempat yang orang paling rekomen. 

Mi Belitung Atep adalah kedai yang korang mesti pegi kalo nak cuba Mi Belitung yang terbaik di Tanjung Pandan atau kepulauan Belitung khususnya. Untuk pengetahuan korang yang kedai Atep nih adalah kedai cina tapi ada status halal dari jabatan agama Islam Indonesia, Majlis Ulamak Indonesia kalau tak silap aku. So kalo korang nak makan, makan lah. Kalau was was jangan lah makan. 


Jangan jadi cam ada satu kes melibatkan kedai pau cina kat Tanjung Malim dulu yg dituduh netizen sebagai tak halal walhal ada sijil halal Jakim. Mula2 fitnah takde sijil halal, bila ada sijil cakap lak tak mandi wajib la, makan babi la..macam2 la masyarakat kita zaman sekarang nih. tapi bukannya semua, ini melayu kat negara Monggostan bukannya kat Malaysia..yg Malaysia semuanya baik2 belaka.. 

Seperti yang aku cakap tadi, Mi Belitung Atep ni terletak tak jauh dari hotel aku..boleh kata dalam 200-300 meter sahaja..so aku amik keputusan untuk jalan kaki je ke sana. Boleh gak tengok kedai-kedai apa lagi yang ada sepanjang jalan.



Mi Belitung nih sebenarnya juga dikenali sebagai mi rebus tapi kalau buat perbandingan dengan mi rebus dari Malaysia memang agak berbeza..biasa la tu persamaan dari segi nama sebabnya ras dan bahasa juga lebih kurang. Bak kata orang..kita serumpun. Mi rebus di Malaysia bahan penting untuk kuahnya adalah ubi keledek dan juga banyak rasa pedas-pedas sikit manakala mi Belitung Atep nih lebih plain rasanya..cukup rasa cuma tak pedas..

Personally bagi aku memang sedap mi Belitung Atep nih..ada kemungkinan sebab aku tengah lapar gila tapi aku rasa bukan sebab tuh.. Kuahnya tak banyak, lebih kurang mi hailam je tapi rencahnya agak pelbagai jugak la..ada udang, ada tauhu, telur rebus, timun, cucur dan yang agak rare sket adalah ianya dihiasi dengan keropok belinjo. Sekali dua tengok balik, macam rojak pun ada tapi kuahnya lain lah..bukan kuah kacang.

Antara yang aku rasa menarik selain dari mie Belitung kat kedai Atep nih adalah es jeruk kunci nya. Walaupun nama dia cam hipster sikit, sebenarnya air nih air limau ais je..tapi rasanya tak terlalu manis dan yang penting tak terlalu masam..dia cam mild je..sederhana dalam semua keadaan. Macam kadang2 kalo minum air limau kat kedai2 lain adakalanya sampai sakit tekak dia punya masam atau terkenyit2 mata nak tahan masam; yang manis melampau pun ada..yg nih memang cun2 je..silap2 sekali sedut dah abis. Bak kata org..mantap pak abu..


Selesai makan di Mie Belitung Atep, aku jalan kaki melintasi Satam square menuju ke salah satu port legend di Belitung ni iaitu kedai kopi Kong Djie. Apa yang best sangat ngan kedai kopi ni adalah ianya kedai yang sangat lama..dibuka since 1943 iaitu hampir 2 kali ganda lagi lama dari Starbucks. Cuma dia x berapa hipster la tapi kedai nih still style giler..kedai nih dah lama dan still maintain old school. Dari first day aku kat Belitung nih memang aku nak try lepak minum kopi kat sini tapi kedai nih memang sentiasa full house tapi xde la beratur cam kat Malaysia. Hari ni tora datang lagi tapi sekali dia tutup la pulak. So memang takde rejeki la nak ngopi kat sini tapi xpe..ada satu lagi kedai kopi lagi yang boleh lepak. Tapi petang sat lagi lah..


Petang nih rata-rata destinasi aku hanyalah di pekan Tanjung Pandan sahaja. Malas nak keluar dari pekan sebabnya aku dah puas ronda siang tadi sampai dah takde idea nak kemana dah..cuma nak cari ole-ole untuk dibawak balik ke Malaysia dan maybe melepak-lepak sambil mengopi yang mana orang cakap tempat lepak mengopi kat Belitung nih pun agak femes jugak. 1st thing first, aku start motor ke satu tempat yang aku search dalam google iaitu Pusat Oleh-oleh khas Belitung. Tempat nih tak jauh dari hotel aku kira-kira dalam 5km je, dalam 10 minit la kalau naik motor.




Bila sampai, signboard luar dia tulis factory outlet. (Ala..aku tak amik gambar tempat tuh la pulak.Korang cari kat google lah) So aku pun masuk la ke dalam kedai tuh utk tengok apa yang ada dijual di dalam. Dalam 5 minit aku belek-belek barangan-barangan dalam kedai tuh, aku pun keluar tanpa beli apa-apa. Nampaknya takde apa yang aku berkenan. Tshirt ngan fridget magnetnya macam kurang kualiti dan harganya agak mahal. (Ini penilaian diri aku sendiri je..mungkin taste aku lain dari orang lain) So aku patah balik ke area hotel aku.


Aku bukan saorang kopi man tapi kalau dah lepak kat kedai kopi paling lama kat Belitung ni, takkan tak try secangkir kopi di Warung kope Ake ni kan..

Waroeng kopi Ake nih ada di kota tanjung Pandan sejak 1922 lagi. Dah 3 generasi tapi peralatan membuat kopinya dah berusia lebih 90 tahun dan tak pernah tukar. Takut rasa lain kata owner nya. Walaupun antara kedai kopi viral tapi pengunjungnya tak ramai. Tak perlu beratur macam di Malaysia. Staff nya pun ada 2 org...Bobby (anak tokey sekarang) si pembuat kopi dengan sorang lagi lelaki Indonesia sebagai pelayan dan tukang kira.



Kedai kopi ni bagi aku kedai kopi yang agak olskool. Takde jual nasik goreng mee goreng kotiau kungfu roti canai roti tampal dan pizza. Menu makan nya cuma telur separuh mentah dengan kuih kuih. Simple je kan..x payah menu beribu-ribu tapi bila order nanti xde..kan..

Bak aku cakap tadi yang aku nih bukan seorang peminat kopi so aku xleh describe detail rasa kopi ais nya nih..nak bezakan dengan stabak pun aku jarang lepak kedai kopi puluhan ringgit tuh..kalau beli pun biasanya frapucino..tapi personally aku rasa..rasanya cukup la..manisnya..pahitnya..kelat kat tekaknya semua ada..bagi aku memang cukup rasa..

Satu lagi..org cakap kalau tak tahan bau rokok jangan minum kat sini. Walaupun ada 2-3 meja je yang berpenghuni, tapi dah macam kena fogging, even yang buat bawak kopi pun sambil-sambil isap rokok gak. Takde pun kena saman ngan pak polisi. Jadi bersyukurlah sebab kat Malaysia dah tak boleh merokok kat kedai makan. Kat Indonesia ni cubalah buat undang2 camtu..memang bertukar lah presiden Indonesia...




Usai melapak, aku bercadang untuk melawat ke muzium di Tanjung Pandan nih..aku tahu tempat nih berdasarkan movie Laskar Pelangi dan tiba lah masanya untuk aku belajar sedikit sebanyak pasal pulau Belitung nih. Lagipun petang-petang nih tak tau nak buat apa lagi..so why not? Ekceli aku dah singgah ke muzium nih petang semalam tapi masa aku sampai tuh tinggal lagi 15 minit je sebelum muzium tutup dan pegawai muzium tuh x suggest utk masuk dan suruh aku datang esok hari and here i am.

Bayaran masuk ke dalam muzium nih adalah 3k rupiah..lebih kurang rm1. Muzium ni boleh dikatakan agak tersusun jugaklah ruang pameran nya. Ruangan disusun rapi mengikut bahan exibit nya. Banyak la jugak artifak yang dipamerkan macam pinggan atau barang2 hiasan lama dan juga binatang-binatang yang boleh didapati sekitar Belitung..ofkos lah dah mati dan diawet.


Di bahagian luar zoo nih pulak ada la mini zoo macam yang ada kat sesetengah tempat. Tapi binatang-binatang yang ada pun xde lah eksotik sangat..ada sikit burung-burung dan binatang yang biasa-biasa je..tak menarik perhatian pun. Jadi kalau korang sukakan sejarah atau nak belajar sedikit sebanyak pasal bagaimana Belitung nih bermula sehingga lah masa kini..korang adalah digalakkan untuk datang ke sini..kalau korang ada masa terluang yang banyak dan tak tahu nak buat apa..boleh la korang datang ke sini..sebabnya Belitung nih xde shopping mall ala-ala Central park atau Plaza Atrium di Jakarta. Kat sini ada Belitung mart je..kikiki..tp verdict aku bagi muzium Tg Pandan nih adalah...biasa-biasa aja..


Untuk cenderamata bagi orang-orang di Malaya, aku beli di satu kedai yang dekat dengan hotel aku, iaitu Galeri KUMKM (aku taktau camana nak pronouce.). Kebetulan masa aku jalan kaki aku nak gi makan tengahari tadi aku ternampak tempat nih dalam perjalanan..dekat je ngan hotel aku..dalam 50 meter. Aku singgah kejap utk tengok apa yang ada kat dalam dan didapati tempat nih ada menjual barang-barang yang aku nak..ada keychain..ada fridge magnet dan ada t shirt. So sebelum makan malam aku singgah kejap untuk dapatkan sikit barangan sebelum kedai tutup. Kat Belitung nih kedai tutup awal..so pergi awal nanti tak kalut. Bagi aku kat sini barang yang dijual kira ok la..tak begitu mahal dan kualitinya tuh ada lah...sesuai dengan harga orang portugis cakap...So jalan-jalan dah settle..cenderahati pun ada..makan pun sudah...apa lagi..balik hotel tidur lah..






Hari keesokkan nya takde apa yang menarik dan aku pun xde keluar dari pekan Tanjung Pandan memandangkan hari ni flight aku dalam tengahari. Yang aku kompom, hari nih aku dah bagitau owner motor untuk pulangkan motor dia dan dia akan standby kat airport pada waktu yang dah dijanjikan. So malas nak keluar hotel..aku lepak sampai tengahari nak check out..pekena sepinggan lagi mi Belitung Atep pastu gerak ke airport. Pulangkan motor dan terus bergegas ke imigresen..Sempat jugak la aku masuk klinik pemantauan Covid yang ada kat airport tuh..memandangkan masa aku datang, aku ada running nose sikit..tapi masa nak balik dah takde memandangkan beberapa hari berjemur dalam panas matahari..


Akhirnya tamat jugak post aku kat Belitung nih..setelah sekian lama..kalau ada rejeki, kita jumpa lagi dalam perjalanan seterusnya..

Tamat. 


Thursday, 11 November 2021

Mengembara ke negeri Laskar Pelangi part 3

PKP lama dan banyak masa terluang aku..tapi mood untuk menulis (menaip) memang takde langsung..ntah kenapa aku pun tak tau..OK..hari nih ada sikit2 mood dah balik so mari kita sambung...

Hari ni hampir separuh plan aku gagal..(belum gerak dari hotel lg dah gagal..takpe..stay tune ngan post ni nanti tau la sebab apa aku cakap cam tu) Hari dimulakan dengan breakfast di hotel..lupa nak bgtau semalam aku tapau lagi takoyaki on the way balik dari dinner, cuma bertukar perisa lain la pulak..kelmarin cheese semalam amik perisa cumi. Ok..itu tak penting sangat pun.kita move on..


Lepas breakfast aku berangkat ke pantai Tanjung Kelayang. Hari ni plan nya untuk ke pulau Lengkuas yang mana kat pulau tu ada rumah api yang menjadi ikon di Belitung ni. Dalam jam 9 pagi aku sampai kat pantai Tanjung Kelayang nih. Suasana tak macam yang aku imagine, senyap sunyi dan takde sebarang kelibat pun yang ada kat sana. Aku silap tempat ke macamana ni. Kalau macam di Langkawi ke di Phuket ke atau di Ao Nang, waktu pagi macam ni nak naik bot memang happening dengan pelancong yg sedang tunggu giliran untuk naik ke bot masing- masing. Sedang aku duduk termenung, datang seorang brader menegur aku sama ada nak amik pakej ke pulau atau tidak...akhirnya ada jugak orang. Aku pun tanya mana semua orang, dan dia jawap semua dah bertolak ke pulau pagi tadi...sekarang tinggal aku seorang je..golongan yg tertinggal.


Pakej yang brader tu tawarkan kat aku adalah rp 400k :- naik bot ke beberapa pulau lebih kurang separuh hari..snorkeling di beberapa spot ( snorkeling punya gear bayar lain)..makan aku tak pasti disediakan atau tak...(rasanya takde kut...)So aku mintak brader tu masa dalam 5 minit utk aku pikir sama ada nak amik pakej dia atau tak. Setelah dipikirkan nampak berat kat aku..sorang-sorang naik bot, sorang-sorang snorkeling..rasa cam rugi..yang paling untung adalah dpt bergambar ngan rumah api utk tujuan menghiasi mukabuku...demi sekeping gambar hangus 400k..aku rasa tak berbaloi lalu bagitau brader tu yg aku tak jadi amik pakej dia dan beredar dari situ.


So aku ada banyak masa terluang disebabkan tak jangka yang aku tak pergi ke pulau Lengkuas (nama pulau yang ada rumah api tuh). Nasib baik aku ada buat homework sket malam tadi dengan membaca sikit2 mengenai tempat menarik (mostly geosite) di Belitung. Dari Tanjung Kelayang aku menuju ke salah satu tempat yang aku dah tag dalam google map aku iaitu Danau Biru Kampit. Kelmarin aku dah pergi Danau Kaolin yang berada dekat dengan Tanjung Pandan, hari ni aku ke daerah Kampit mencari danau biru di sana pula. Aku sebenarnya tak tahu apa yg nak di cari kat sini. 


Dari pantai Tanjung Kelayang menuju ke Kampit, singgah sebentar di mangrove Kuale yang kebetulan on the way.Masa dalam perjalanan aku ternampak signboard tempat nih dari tepi jalan, so aku amik kesempatan untuk singgah la sebentar nak tengok apa yang ada di dalam. 


Dari pintu masuk, aku nampak keadaan tempat nih adalah lebih kurang sama je dengan mangrove site yang dah aku jelajah tempoh hari tapi tempat nih memang betul-betul sepi...masa aku sampai, aku sorang je yang ada kat sini. Kebetulan dah tersampai, aku pun amik kesempatan untuk explore tempat nih. Ya..memang betul macam yang aku jangka..tempat nih lebih kurang sama je dengan mangrove yang lain tapi saja aku teruskan perjalanan sebab nak tengok kut-kut ada tarikan yang lain dari tempat yang pernah aku pergi (mangrove) di Belitung nih.



Aku cuba untuk meneruskan perjalanan sampai ke hujung tapi tak sampai separuh perjalanan..laluan dah dinaiki air dan banjir..kalo ikutkan boleh je aku nak redah tapi air naik agak dalam dan bersambung dengan parit tepi lak..(rujuk gambar atas). Aku duduk kat gigi air tuh sambil fikir sama ada nak redah atau tak..Last-last aku patah balik je ke motor aku..tak berbaloi nak amik risiko..buatnya ada buaya tengah menjenguk, naya pak karim..dah la aku sorang kat sana..So perjalanan diteruskan semula...


Ya..it is just another danau biru tapi mungkin nak kill the time kut. Nak ikutkan memang jauh perjalanannya..jalan menju ke timur, sama jalan menuju ke Manggar dan Gantung dalam 75km dari Tanjung Kelayang. Perjalanan mengambil masa sejam lebih dan tambah mengharukan danau nih terletak agak kedalam dari jalan besar...jauh ke dalam ladang kelapa sawit.


Aku tabahkan hati juga nak menuju ke danau nih dengan harapan berbunga dapat menyaksikan sebuah danau yang nun membiru seindah mata memandang. Dari jalan besar terpaksa masuk ke dalam aku tak pasti dalam berapa kilometer termasuk sesat dan patah balik ke pangkal jalan. Akhirnya jalan semakin teruk, terpaksa masuk ke jalan tanah merah ladang kelapa sawit. 


Berapa kali aku dok pusing-pusing takut silap jalan maklumlah line takde tapi gps tetap bawak aku ke tempat yang sama. So nak tak nak aku redah jugak semak samun dari jalan tanah merah ke gigi danau biru (konon-konon biru tuh). Betul aku tak tipu korang..korang boleh google danau biru Kampit kalo korang tak caya. Ya betul..pemandangan gambar atas dan bawah nih la danau biru Kampit yang aku redah..secara jujur aku tak pasti ini tempat sebenar tapi memang aku dah ikut apa yang gps tunjuk.




Dengan rasa kecewa aku tinggalkan danau biru (kolam terbiar) yang indah permai itu dan menuju ke next destination. Masa aku naik motor ada sekali tuh aku berhenti kat tepi simpang untuk meneguk sedikit teh botol sambil menghidupkan rokok sebatang dan suratan atau kebetulan, aku ternampak satu signboard berupa peta yang menunjukkan geosite yang ada di Belitung nih. Site yang betul-betul menarik perhatian aku adalah Open Pit Nam Salu geosite. So aku ke pekan Kampit dulu untuk carik wifi percuma..kut kut ada supaya aku dapat pin location destinasi aku seterusnya dalam phone.



Untuk menambah lagi satu list kegagalan aku hari ni...di pekan Kampit aku berjaya jugak dapat 1 free wifi setelah merata-rata tempat mencari..(aku park motor dan berjalan kaki) aku update kedudukan Open Pit Nam Salu geosite dalam map henpon aku dan mula mencari tempat nih. Kalau ikutkan tempat yang aku nak tuju nih dekat je, dalam radius 10km dari pekan Kampit namun begitu lokasi yang maps tunjukkan kat aku agak tak boleh dipercayai..dia bawak aku gi kilang proses kelapa sawit..aduii..sakit kepala aku..tapi kalau just incase korang dah ada kat Belitung nih..aku agak rekomen la korang pergi ke tempat nih..view dia memang menarik la bagi aku.. 

Aku check dalam google, kat pekan Kampit nih ada satu tempat menarik (diorang la cakap menarik) iaitu kuil cina Kelapa Kelenteng. Secara personalnya aku dapati ianya cuma kuil biasa-biasa je so aku tak cuba untuk masuk melawat.



Setelah menghadapi kegagalan demi kegagalan, aku berhasrat untuk balik ke hotel. Badan pun dah berkicap dah meskipun perjalanan aku mostly menaiki motor. Panas weh cuaca hari nih..boleh pitam wo kalo x disulam dengan teh botol sepanjang perjalanan. OKlah..sebelum pulang ada satu lagi geosite yang aku nak pergi iaitu Pantai Burong Mandi..namun begitu, pantai Burong Mandi bukannya terletak dalam perjalanan pulang aku tapi lebih kurang 30km dari pekan Kampit menuju ke Gantung.. Xpe lah..esok dah nak balik..lagi pun dah abis muka ngan tangan aku nih dah kena sun burn..setakat sejam lagi perjalanan tuh apa la sangat...kan..




Pantai Burong Mandi ni agak jauh tersasar dari tujuan asal aku. Memandangkan aku dah takde sebarang perancangan so aku singgah jugak sekejap nak tengok apa yang ada di sini yang menjadikan ia sebagai salah satu geosite di Belitung nih. Pantai Burong Mandi nih terletak lebih 80km dari pekan Tanjung Pandan...memang jauh wehhh perjalanan ke sini, dengan cuaca yang panas tak agak-agak. Waktu tengahari kawasan pantai Burong Mandi nih sunyi sepi. Aku tak pasti kenapa, mungkin Belitung nih atau Pantai Burong Mandi nih bukanlah satu tarikan bagi pelancong. 


Kat sini ada dalam 2 kedai makan / serbaneka yang bukak dan takde sebarang orang kat kedai tuh. Tempat nih mempunyai pantai yang cantik, boleh dikatakan instagrammable la jugak. Tak boleh lawan kalau nak banding dengan pantai Iboih di Sabang tapi kira boleh la. Aku cuba cari apa yang menarik kat pantai nih selain kejernihan airnya tapi takde apa yang didapati seperti dalam gambar tapi maybe aku yang tak jumpa...cuma yang ada perahu-perahu (macam dalam gambar) menangkap ikan (kut) yang disidai di tepian pantai..susunan batu seperti dalam poster (papan tanda) aku tak jumpa lak..




Settle melawat ke pantai Burong Mandi, aku bertolak menuju ke hotel..x jauh dari jalan keluar terdapat satu lagi tempat menarik untuk korang lawati (dalam google ada rekemen) iaitu Vihara Dwi Kwan Inn..Kalau korang datang ke area nih boleh try-try tengok apa yang menarik kat tempat nih ye..Aku masa nih dah kepenatan yang amat..dah la penat..kulit mcm dah kena sun burn dan badan dah berkicap..tambahan pulak perjalanan untuk balik ke hotel ada dalam sejam lagi..OK..i'm done untuk tengahari nih..nak balik rehat kat hotel jap dan kemudiannya keluar mencari makanan lak..lapar dah nih..




Bersambung...


Wednesday, 26 May 2021

Mengembara ke Negeri Laskar Pelangi : Part 2

OK. Aku kembali semula setelah beberapa bulan tak mengeluarkan sebarang posting. Sejak habis PKP aritu kerja bertimbun-timbun nak kena settlekan dan seperti biasa..malas datang mengetuk. Tup tap tup tap PKP balik...hadoi

Hari kedua aku di Belitung dimulakan dengan solat subuh dan breakfast takoyaki yang aku dah tapau semalam. Takoyaki tuh dah macam takoyaki beku sebabnya semalaman duduk di bawah aircond tapi layankan je..janji kenyang. Aku keluar dari bilik nampak cam ada breakfast disediakan kat hotel, tapi aku segan la pulak nak tanya tambahan pulak aku dah kenyang melantak. Lepas lepak-lepak sembang ngan receptionist, aku mulakan perjalanan aku hari nih. Targetnya nak ke bahagian timur pulau Belitung nih di mana terletaknya replika bangunan sekolah Laskar Pelangi.

Perjalanan dari Tanjung Pandan ke Gantung di daerah Manggar nih boleh tahan jauh jugak lah..kira-kira dalam 80km. Perjalanan ni kalau di Malaysia kurang dari 1 jam tapi bila di Indonesia, aku tak berani nak bawak laju-laju sebab kalau apa-apa terjadi masak la nak settlekan hal motor dan klinik atau hospital. Ye la..kalau di Malaysia, nak masuk klinik kerajaan kena bayar RM1 je tapi di luar negara belum pernah test lagi meskipun aku ada je travel insurans.

Betul kata brader motor sewa masa aku sampai di airport hari tu yang mana motor Nmax nih minyaknya agak kuat jugak lah dari motor-motor skuter lain yang berkapasiti lebih rendah. Tak sampai separuh jalan, meter minyak dah menyala lagi. Nasib baik kat meter tuh ada tunjuk distance berapa kilometer lagi motor nih boleh jalan sebelum minyak totally habis. Walaupun sepanjang perjalanan kebanyakkannya kampung-kampung dan ladang kelapa sawit, tapi kebanyakkan rumah-rumah atau kedai runcit sepanjang perjalanan ada jual minyak botol yang biasanya diletakkan di pondok-pondok di tepi jalan.

Sepanjang perjalanan, dalam 2 kali aku isi minyak motor nih. Antara sebabnya aku tak berapa nak reti berapa kapasiti tank minyak dan tak tau berapa rupiah nak isi kat dalam tank. Walaupun aku agak biasa jugak ride di Indonesia tapi jumlah penggunaan petrol adalah berbeza bagi jenis dan cc motorsikal yang korang guna serta berapa laju korang pecut motor tuh. Perjalanan ke Gantung mengambil masa lebih kurang 1 jam lebih dengan ride secara santai-santai je. Dari pekan Gantung kena sambung dalam 1 km sebelum sampai ke simpang ke Replika SD Muhammadiyah (sekolah Laskar Pelangi). Dari simpang masuk kanan tu, first attraction yang boleh korang jumpa di kiri bahu jalan adalah Muzeum Kata Andrea Hirata. Memandangkan masa aku sampai, muzium nih masih lagi tutup so aku teruskan perjalanan ke sekolah. 



Sampai di area sekolah laskar pelangi, aku park motor aku area designated parking. Ada beberapa kedai yang menjual oleh-oleh dan juga makanan sepanjang menuju ke pintu masuk. Dihujung jalan menuju ke pintu masuk replika sekolah barulah ada kelibat orang menjual tiket masuk. Aku beli tiket masuk dari salah seorang makcik kat sana dan masuk la ke kawasan yang terletak dalam pagar tuh.


Pada pandangan aku, boleh je nak masuk ke replika sekolah nih dengan percuma. Korang just park kenderaan korang kat jalan besar dan bukannya parking yang ada kedai-kedai tuh. Jalan kaki sikit dari jalan besar tu dan kawasan replika sekolah nih bukannya ada pagar pun. Tapi aku memilih untuk bayar entrance fee supaya dapatlah sikit pendapatan pada orang kampung supaya diorang boleh la maintain kawasan replika sekolah dan kawasan persekitaran nya. Ala..lagipun rp 5000 je..tak koyak lah poket korang.


Aku boleh katakan yang replika sekolah laskar pelangi nih adalah satu tarikan untuk fotografi. Didalamnya persis bilik darjah yang terdapat dalam movie, kalau tolak lantai tuh berpasir...lebih kurang dengan bilik darjah aku je masa sekolah rendah dulu. Kerusi meja kayu memang sama...maklumlah sekolah miskin kat luar bandar.


Secara peribadi, ianya adalah satu set penggambaran yang telah ditinggalkan dan sesuai bagi pengembara untuk merasai pengalaman berada dalam filem Laskar Pelangi meskipun ianya set penggambaran yang telah ditinggalkan, at least boleh la cakap..aku dah ke Belitung. Pelancong masa aku di sini juga tak ramai, dalam 2-3 kumpulan sahaja..mungkin hari masih lagi pagi..aku pun tak pasti.


Tak banyak benda nak buat kat sini kecuali lepak dalam replika bilik darjah dan mengambil beberapa keping gambar. Settle aktivitas tersebut, aku meneruskan semula perjalanan. Tak jauh dari replika sekolah laskar pelangi nih (kat seberang jalan) ada satu tempat macam menarik iaitu Dermaga Kirana atau nama lainnya rumah Keong. Takde sebarang perancangan untuk ke sini, takde dalam dropped point maps aku pun. Cumanya masa keluar dari kompaun replika sekolah, aku terus tertarik untuk ke sini dek kerana bangunan yang dapat dilihat dari jalan besar.


Dermaga Kirana atau rumah Keong ini menarik kerana rekabentuk bangunan yang ada terdiri dari beberapa buah geodesic dome atau bangunan separa bulatan yang dibina dari sulaman buluh / rotan (sebenarnya aku pun tak pasti bahan apa dinding bangunan nih). Bangunan ini terletak di persisir Sungai Lenggang yang dihubungi dengan jambatan diperbuat dari papan. Dihujung jeti sepatutnya ada beberapa perahu yang boleh disewa tapi masa aku datang, takde sebarang perahu di sana, mungkin dah disewa orang. Tempat nih memang bagi aku agak cantik (instagrammable) dari segi bangunannya dan juga panorama sungai Lenggang itu tersendiri. Tempat yang patut korang singgah kalau kebetulan ada di sekitar daerah Gantung. 


Sebaik sahaja selesai aktiviti di Demaga Kirana, aku kembali semula ke motor sewa aku. Tujuan aku adalah menuju semula ke Muzium Kata Andrea Hirata yang berada dalam 2.5km dari tempat nih dan jalan menuju ke jalan besar. Nak tak nak kena lalu juga kawasan tuh. Ada jalan lain (short cut) nak ke Tanjung Pandan tapi aku dah set nak tengok dulu muzium yang tadinya masih lagi tutup. (belum buka)


Aku dah berdiri di depan muzium nih, bak kata lain di depan entrance tapi ragu-ragu nak masuk ke tak sebabnya aku dah tau apa yang ada kat dalam tuh. Sifat kedekut mulai menghantui aku bila nampak bayaran masuk adalah 50k rupiah. Tapi secara jujur aku katakan kalau dah sampai ke sini, agak rugi kalau tak masuk ke dalam muzium nih. 50k rupiah tuh harga tiket dan juga percuma sebuah buku mengenai muzium atau pemilik muzium ini. 


Aku tak pasti apa detail yang terdapat dalam muzium nih tapi melalui pencarian aku dalam internet mendapati yang ianya dipenuhi oleh karya Andrea Hirata yang mana merupakan seorang penulis atau karyawan (maksud dalam bahasa Malaysia = orang seni) yang asalnya dari Belitung itu sendiri. Dalam muzium ini kaya dengan hasil suasana yang menjadi Instagrammable spot. Banyak spot untuk mengambil gambar yang cantik dalam muzium nih, so aku sangat menggalakkan korang semua untuk masuk dan menikmati karya Andrea Hirata nih. 


Akhirnya aku tetap dengan keputusan aku, iaitu tak mau masuk ke muzium ini dan teruskan perjalanan. Masalah aku adalah aku dah takde sebarang tujuan kecuali menuju semula ke Tanjung Pandan dan berehat-rehat di bilik aku. Kalau ikutkan di seberang jalan dari muzium di persimpangan ke jalan besar, ada satu lagi tempat yang menarik untuk dilawati iaitu Kampung Ahok tapi aku macam tak berminat nak ke sana. Ahok ni adalah bekas gabenor Jakarta yang berasal dari Belitung. (Of course lah sebab tu nama dia kampung Ahok)

Perjalanan pulang ke Tanjung Pandan, aku tak ikut jalan aku datang tadi (jalan tengah Tg. Pandan - Manggar) tapi sebaliknya aku ikut jalan lain (jalan simpang Ranggiang - Gantung) sebab aku nampak macam dekat sikit dan boleh la singgah mana-mana yang ada di sepanjang jalan.



Jalan yang aku lalui menemukan aku dengan signboard tempat nih, Tebat Rasau. Ianya bukan terletak betul-betul di tepi jalan besar bahkan untuk sampai ke kawasan pintu masuk sahaja kena melalui jalan tanah merah dan berpasir. Nasib baik jalan kering, kalau semalam hujan kompom berselut. Masuk ke kawasan nih, terdapat satu bangunan lebih kurang pondok berbentuk kayu sebelum mudik ke jambatan / titi . Di bangunan tu aku nampak ada beberapa orang tengah makan tengahari (waktu aku tiba dah dekat tengahari..aku assume diorang makan tengahari lah). Aku jenguk-jenguk jugak pondok tuh kut-kut kena bayar bayaran masuk ke tidak. Memandangkan diorang buat tak tahu je, aku teruskan perjalanan aku.


Tebat Rasau adalah salah satu dari geosite yang terdapat di Belitung. Geosite ni adalah tempat yang kaya dengan alam semulajadi yang menjadi tarikan bagi pembelajaran dan tourism berkenaan ekosistem. (yang ni definisi dari aku je ye..) Ianya sebuah paya yang terdapat di area Lintang, Belitung timur. Aku saja-saja je masuk area nih, rupanya dapat gak melawat tempat menarik cam nih.


Secara personal, aku memang suka tempat ini. Ini bukanlah hutan paya bakau (ya betul...hutan paya dengan hutan paya bakau memang ada perbezaan sikit) yang pertama aku pergi, kalau nak dibandingkan dengan yang ada kat Malaysia seperti di Langkawi, di Lumut, di Nibong Tebal dan Kuala Selangor, aku dapati kat sini pembinaan jambatan / titi nya lebih simple dan bersahaja. Waktu berjalan, lantainya ada goyang-goyang sedikit tapi masih lagi selamat pada perkiraan aku. 


Dari permulaan jambatan menuju ke hujung jalan iaitu terdapatnya satu pelantar yang agak besar yang bertujuan untuk melihat permandangan, jaraknya adalah sekitar 200 meter berjalan kaki. Sepanjang perjalanan terdapat beberapa check point atau tempat untuk berhenti. Ada menara tinjau, pondok dan beberapa spot untuk mengambil gambar disamping alam sekitar yang tidak begitu diteroka. Menara tinjau dan juga pondok nampak tidak dibina dengan apa orang cakap..lebih kurang proper built..ianya lebih kepada cara orang kampung yang membuatkan bangunan-bangunan nih lebih blend dengan alam semulajadi. Itu sebab aku suka tempat nih..



Selesai roaming di Tebat Rasau, aku balik semula ke hotel, mandi manda dan solat. Kemudiannya aku keluar semula tapi kali nih tujuan aku untuk melawat Rumah Adat Belitung yang terletak di bandar saja sebabnya hari dah melepasi waktu tengahari menuju ke petang. Tak ada sebarang plan pun tapi dok bilik hotel sambil check tempat-tempat menarik di kawasan persekitaran aku menemui tempat ini.


Rumah adat Belitung nih terletak di pekan Tangjung Pandan, yakni tak jauh dari hotel aku. Perjalanan dalam 5-10 minit sahaja menaiki motor tapi bergantung juga sebabnya aku agak tersesat jalan, biasalah offline maps pening sebab takde data. Tambahan pula beberapa jalan di Tanjung Pandan nih one way traffic menyebabkan aku yang naik motor nih agak kompius.


Bayaran masuk ke rumah adat nih adalah percuma. Jika dilihat dari sudut senibina nya, ianya adalah typical rumah melayu. Diperbuat dari kayu pada hampir keseluruhan bangunan, (dinding dan lantai) ianya menggunakan atap jenis pisang sesikat  pada bahagian anjung dan menggunakan bahan dari jenis singgora yang biasa digunapakai pada rumah-rumah tradisional di selatan Thailand, Terengganu dan juga Kelantan. Mungkin ini maknanya yang kita nih sebenarnya serumpun.


Kalau korang jenis traveler yang gemarkan kebudayaan jenis perhiasan atau pakaian rakyat setempat, maka ini merupakan tempat yang terbaik untuk korang. Kat sini ada perkhidmatan menyewa pakaian adat Belitung dan khidmat mengambil gambar dengan bayaran tertentu.


Antara apa yang aku rasa perlu ditambah baik bagi rumah adat nih (ala..diorang tak peduli pun rasanya) adalah perlu sikit informasi mengenai sejarah atau salasilah mengenai rumah ini. Maksud dibalik ruang-ruang yang ada serta fungsi-fungsi rekabentuk atau ukiran yang terdapat pada rumah adat ini. Mungkin ada kat sini tapi aku rasa cam tak jumpa.


Lepas aku melawat Tebat Rasau tadi, aku macam tertarik nak melawat geosite-geosite yang berada di sekitar Belitung ni. Namun memandangkan hari dah petang so aku ambil keputusan cari mana-mana yang dekat dengan Tanjung Pandan sahaja.



Dari Rumah Adat Belitung aku menuju ke satu tempat yang berdekatan iaitu Juruseberang geosite. Tak jauh, tak sampai 20km pun. Lagipun naik motor sekejap je sampai tuh..cuma kadang2 tersesat jalan, tersalah simpang dan lain2 lagi yang membuatkan aku lewat sampai. Tapi bukan ada yang nak dikejar pun. So aku enjoy je panorama perjalanan dan keadaan trafik kat Belitung yang tak berapa sibuk jika dibanding dengan Malaysia.


Aku sebenarnya tersalah masuk jalan. Bersebelahan dengan signboard Belitung mangrve park nih , ada satu lagi simpang. So dari signboard tuh aku beranggapan yang Belitung mangrove park dengan Juru Seberang geosite nih adalah 2 tempat yang berlainan. So aku ambil simpang kiri terlebih dahulu sebelum 30 minit kemudian baru aku tahu yang aku dah kena game sebab jalan tu menuju ke tempat apa tah..ada jalan je ngan hutan-hutan pokok rhu.



Bayaran masuk ke kawasan Juruseberang atau nama lainnya Belitung mangrove ini adalah percuma,  sesuai dengan budget aku selaku budget traveler nih. Antara banyak-banyak geosite yang berada di atas darat (ada gak yang berada kat pulau-pulau) ini adalah yang paling luas dan besar yang aku lawati. Maknanya ia perlukan lebih banyak berjalan dan kebetulan cuaca pada masa tuh teduh dan mendung, so takde lah berpeluh sangat.






Secara personal bagi aku, Juru Seberang geosite atau nama lainnya Belitung mangrove park adalah salah satu lokasi yang paling menarik yang aku lawati semasa berada di Belitung nih. (sepanjang 2 hari..esok tak tahu lagi) Ini cuma pandangan aku sahaja. Kenapa aku kata tempat nih best? Antara sebabnya view yang ada kat sini, ada view laut, a view hutan paya bakau, ada view sungai dan lain-lain lagi seperti hutan dan juga jambatan / titi merentas sungai dan laut. Disamping itu kat tengah paya tuh ada satu replika kapal yang agak besar juga tapi masa aku kat sana, kapal tuh masih lagi dalam pembinaan so tak pasti kapal tuh bangunan apa. Kedai makan kut..ntah la. Cuma yang spoil bagi aku adalah cuaca mendung so tak dapat nak tengok sunset. Kalau dapat sunset yang baik kat sini memang marbeles lah.


Menyedari hari mendung dan nampak macam takde harapan untuk aku amik gambar sunset kat Belitung mangroves nih, aku berubah ke Pantai Tanjung Pendam yang terletak berdekatan dengan pekan Tanjung Pandan.. Takde apa-apa aktiviti jugak kat sini melainkan lepak-lepak kat gerai sambil minum segelas kopi ais sebabnya suasana disini juga mendung jesteru itu memang takde sunset lah petang nih. Lepas menghabiskan kopi, aku kembali semula ke hotel untuk berehat dan menyelesaikan urusan-urusan.

Seharian berjalan, aku kembali semula ke hotel untuk mandi manda dan menyiapkan diri menghadap yang Maha Esa. Selesai kesemua urusan aku kembali semula ke jalanan. Waktu malam adalah waktu bersenam aku. Tak menggunakan motor, aku jalan kaki sahaja menuju ke Satam square. Situ je tempat yang mudah untuk makan dan juga terdapat banyak pilihan makanan yang boleh korang cuba. Nak naik motor malam-malam nih meredah kampung dan hutan..aku rasa tak lah kut.


Menu aku malam nih adalah mie Belitung dengan es jeruk kunci yang merupakan makanan khas rakyat Belitung. Selesai makan aku kembali semula ke hotel untuk beradu. Perjalanan esok masih panjang..harap-harapnya lah...

Bersambung...